top of page

PM Anwar, Kabinet ucap takziah pemergian Taib Mahmud



Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anggota Jemaah Menteri merakamkan ucapan takziah di atas pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di sebuah hospital swaasta di Kuala Lumpur awal pagi ini.


Perdana Menteri berkata, seluruh rakyat terutamanya Sarawak kehilangan seorang sosok negarawan yang dihormati dan baktinya kepada negara dan negeri itu akan sentiasa dikenang buat selama-lamanya.


"Berdukacita atas pemergian mantan Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud awal pagi tadi.


"Saya mewakili pentadbiran Kerajaan MADANI mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan rakyat Sarawak.


"Sesungguhnya kita, terutama rakyat negeri Sarawak kehilangan seorang sosok negarawan yang dihormati. Jasa dan bakti Allahyarham kepada negara dan negeri Sarawak akan sentiasa dikenang buat selamanya. Al-Fatihah," kata Anwar dalam hantaran di Facebook hari ini.


Terdahulu pemergian Abdul Taib, 87, pada pukul 4.40 pagi ini disahkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.


Berita itu turut dikongsikan anaknya Hanifah Hajar Taib yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu hantaran yang dimuat naik melalui Facebook miliknya sekitar pukul 6 pagi.


Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak, apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sebelum ini.


Beliau secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 1 Mac 2014.


Setelah hampir 10 tahun memegang jawatan itu, Abdul Taib digantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri pada 29 Jan lepas.


Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak mengisytiharkan seluruh negeri itu berkabung selama dua hari bermula hari ini sebagai menghormati pemergian Abdul Taib.


Kerajaan Sarawak dalam kenyataan rasmi memaklumkan bendera di seluruh negeri juga akan dikibarkan separuh tiang dan sebarang acara hiburan ditangguhkan.


"Masjid dan rumah ibadat adalah digalakkan untuk mengadakan majlis doa bagi memperingati pemergian Tun Abdul Taib," menurut kenyataan itu.


Jenazah Abdul Taib dijangka tiba dari Kuala Lumpur petang ini dan dibawa ke kediaman Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako, Kuching.


"Jenazah akan akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) esok dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir bermula 8 pagi hingga 11.30 pagi.


"Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengkebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya," menurut kenyataan itu.


Terdahulu jenazah Abdul Taib dibawa menggunakan kenderaan milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada pukul 9.05 pagi dari sebuah hospital ke Masjid Negara untuk disolatkan.


Sebelum itu, pekarangan hospital swasta berkenaan dipenuhi dengan kunjungan ahli keluarga dan sahabat Allahyarham.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page