top of page

PM Anwar dan tiga mentor bertaraf dunia, budaya ilmu asas kepimpinan - Dr Zulkifli

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar sering dibimbing para cendekiawan tempatan dan antarabangsa sejak muda
DS Anwar sering dibimbing para cendekiawan tempatan dan antarabangsa sejak muda

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dianggap beruntung kerana dibimbing oleh beberapa tokoh ilmuwan bertaraf dunia di sepanjang kerjayanya yang membawa kepada disiplin membaca dan menuntut ilmu.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kisah hubungan akrab dengan intelektual itu dikongsikan sendiri oleh Anwar ketika berucap pada Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026, yang menceritakan bagaimana pemikirannya dibentuk oleh tiga tokoh ilmuwan, iaitu Almarhum Syeikh Dr Taha Jabir al-Alwani, Almarhum Prof. Dr Ismail Raji' al-Faruqi, dan Almarhum Prof Ahmad Ibrahim.


Menurut Zulkifli, ketiga-tiga ilmuwan itu sentiasa memastikan Anwar membaca karya-karya penting sebelum mengadakan sesi perbincangan bersama mereka.


"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi satu rahsia mahal tentang bagaimana beliau dididik oleh tiga tokoh ilmuwan gergasi dunia (Islam)," kata Dr Zulkifli dalam hantaran di media sosial.


Beliau berkata, Ismail al-Faruqi pernah memberikan tempoh dua minggu kepada Anwar untuk menghabiskan buku Muslim Society tulisan Ernest Gellner sebelum mengujinya melalui pelbagai soalan berkaitan kandungan buku berkenaan.


DS Anwar sering bersama Prof Diraja Ungku Aziz mencerna budaya akademik tempatan
DS Anwar sering bersama Prof Diraja Ungku Aziz mencerna budaya akademik tempatan

"Setelah sampai masanya, beliau akan bertanya pelbagai soalan yang hanya akan dapat dijawab sekiranya membaca buku tersebut," katanya.


Menurut beliau, Sheikh Taha Jabir al-Alwani pula meminta Anwar menelaah karya La Ikraha Fid Din sebelum mereka berdiskusi secara mendalam, selain hubungan rapat mereka ketika tinggal berjiran sewaktu Anwar mengajar di Georgetown University, Amerika Syarikat.


Dalam pada itu, beliau berkata, Profesor Ahmad Ibrahim turut menasihatkan Anwar membaca karya Islamic Law in Malaya, yang menurutnya menjadi antara asas kepada pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988.


Selain tiga tokoh tersebut, Zulkifli berkata, Anwar turut mendapat bimbingan daripada tokoh tempatan seperti Prof Diraja Ungku Aziz, Prof Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Prof Syed Hussein Alatas yang membentuk pemikiran, kepimpinan serta kecintaannya terhadap budaya ilmu.


"Bertuah sungguh PMX dapat bimbingan langsung daripada para murabbi hebat ini.


"Buat anak muda, kalau nak jadi pemimpin hebat masa depan, kuncinya adalah baca, hadam dan hargai guru kita. Tiada jalan pintas dalam menuntut ilmu," katanya.


Beliau berharap masyarakat, khususnya golongan muda, terus istiqamah mencontohi budaya ilmu yang diamalkan oleh para ulama dan cendekiawan dalam membentuk kepimpinan yang berwibawa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page