PM Anwar buktikan kewibawaan sebagai pemimpin serantau, global
- Suara Keadilan
- Jul 30
- 1 min read

Kejayaan rundingan damai yang membawa kepada gencatan senjata serta-merta antara Thailand dan Kemboja menjadi bukti nyata kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin serantau dan global.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Masjid Tanah, Melaka dalam satu kenyataan berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghormatan terhadap ketegasan serta kebijaksanaan perdana menteri menangani krisis ketenteraan tersebut.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sekadar bertindak sebagai pemimpin Malaysia, tetapi tampil sebagai negarawan ASEAN yang disegani.
"Ketika nyawa dan kestabilan serantau tergugat akibat pertempuran antara dua negara jiran, beliau menghubungi pemimpin Thailand dan Kemboja secara terus serta menawarkan Putrajaya sebagai lokasi rundingan, yang akhirnya membawa kepada kejayaan gencatan senjata tanpa syarat.
"Ini adalah bukti kepimpinan beliau yang berteraskan prinsip, pengalaman dan visi jangka panjang jauh lebih bernilai daripada politik retorik yang dimainkan oleh sesetengah pihak pembangkang," kata Ketua AMK Masjid Tanah, Khairi Aliman (gambar).
Menerusi kenyataannya juga, Khairi turut menyelar sikap segelintir pemimpin pembangkang yang meremehkan usaha dimulakan Anwar.
"Pada ketika perdana menteri sibuk menangani konflik dua negara jiran, segelintir pimpinan pembangkang hanya ligat mencipta persepsi dan menyebarkan sindiran di media sosial tanpa memberikan sebarang sumbangan bermakna kepada keamanan atau kesejahteraan rakyat.
"Bezanya ketara. Seorang pemimpin mendepani krisis antarabangsa dengan hasil nyata, manakala yang lain sekadar menangguk di air keruh dengan slogan dan provokasi," katanya.
Comments