
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Indonesia hari ini dan dijadual bertemu Presiden Joko Widodo kira kira pukul 10 pagi.
Lawatan rasmi ini julung kalinya sejak Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu, sekaligus diharap menterjemah keakraban hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun.
Ia turut menzahirkan tekad Anwar sebelum ini yang mahu memanfaatkan hubungan baik beliau dengan pemimpin antarabangsa bagi menarik pelaburan asing.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, beberapa isu penting termasuk kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu dan menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global bakal dibincangkan.
Antara isu utama lain dalam lawatan kali ini juga mengenai kerjasama ekonomi termasuk potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara yang dijangka memberi manfaat pembangunan kepada Malaysia Timur.
"Salah satu daripada perbincangan yang akan diadakan melibatkan dua pemimpin ini dalah berkisar dalam konteks pembangunan di IKN.
"Sebuah Majlis Penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) oleh syarikat-syarikat Malaysia kepada Pengerusi Nusantara juga akan diaturkan bagi menyatakan hasrat Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk pembangunan IKN Nusantara.
"Selain itu lapan Memorandum Persefahaman (MoU) akan dimeterai antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.
Zambry menambah, kedua-dua pemimpin akan turut membincangkan isu membabitkan isu pembatasan sempadan darat dan maritim, pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia serta kepengerusian ASEAN oleh Indonesia pada tahun ini.
Memandangkan Malaysia dan Indonesia merupakan negara pengeluar minyak sawit utama dunia, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan strategi bagi menangani diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).
"Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan syarahan umum berkenaan Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia pada hari yang sama," tambahnya lagi.