top of page

PM Anwar bertemu Li Qiang, perkukuh kerjasama strategik M'sia–China

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 3
  • 2 min read

Perbincangan dua hala Malaysia-China berjaya menjana potensi pelaburan berjumlah RM905 juta
Perbincangan dua hala Malaysia-China berjaya menjana potensi pelaburan berjumlah RM905 juta

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan Premier China, Li Qiang, di Diaoyutai State Guest House selepas kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping, semalam.


Menurut PM, pertemuan sempena menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) itu memberi ruang untuk kedua-dua negara memperkukuh hubungan strategik, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan serantau.


"Saya sekali lagi menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan Sidang Kemuncak SCO, di samping menzahirkan penghargaan atas sokongan China terhadap ASEAN.


"Malaysia kekal komited membina komuniti strategik bersama China, seiring nilai MADANI," katanya dalam hantaran di Facebook.


PM menjelaskan perbincangan kedua dua negara menyentuh kerjasama di bawah Belt and Road Initiative (BRI) serta inisiatif strategik lain melibatkan pembangunan infrastruktur, ekonomi digital, inovasi teknologi dan sumber tenaga.


"Kami juga membincangkan isu serantau termasuk perkembangan di Myanmar dan konflik Cambodia-Thailand, di mana Malaysia dan China sepakat mahu melihat penyelesaian damai tercapai menerusi dialog," ujar Perdana Menteri.


Mesyuarat itu diakhiri dengan majlis makan malam eksklusif yang dihoskan Premier Li Qiang bagi meraikan delegasi Malaysia, melambangkan persahabatan erat kedua-dua negara yang berteraskan hormat, keikhlasan dan saling menghargai.


Sementara itu, dalam sidang media sebelum pulang ke tanah air, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertemuan di antara Perdana Menteri dan beberapa syarikat serta dialog perniagaan dalam lawatan di China telah menjana potensi pelaburan berjumlah RM905 juta.


Malaysia juga, katanya, akan meningkatkan eksport bernilai tinggi terutama dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E), aeroangkasa, perubatan serta minyak dan gas ke negara tirai bambu itu.


China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan perdagangan dua hala bernilai RM484.12 bilion pada 2024 yang mewakili 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion)

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page