PM Anwar bertemu junta Myanmar dan wakil kerajaan perpaduan
- Suara Keadilan
- Apr 18
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan usaha diplomatik serantau apabila mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Ming Aung Hlaing petang semalam di Bangkok, Thailand sebagai langkah mengembalikan keamanan di negara terbabit.
Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi ASEAN 2025 turut dijadual mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) pagi ini.
Laporan media antarabangsa menyebut usaha diplomatik yang digerakkan oleh ASEAN di bawah teraju Kepengerusian Malaysia 2025 itu bagi memanjangkan tempoh gencatan senjata dan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan susulan kejadian gempa bumi di Myanmar baru-baru ini.
"Dalam pertemuan lebih satu jam ini [dengan Ming] kami berbincang secara terbuka dan konstruktif, dengan tumpuan kepada keperluan mendesak untuk menyegerakan bantuan kemanusiaan, termasuk penempatan segera sebuah hospital medan.
"Kami turut menyentuh kepentingan mengembalikan Myanmar kepada keadaan sediakala demi kestabilan dan keselamatan rakyatnya," ujar Anwar dalam hantaran di Facebook tengah malam tadi.
Anwar berkata pihaknya menyambut baik langkah-langkah awal yang diambil untuk meredakan ketegangan, termasuk pembebasan 4,800 tahanan malam semalam.
"Tindakan sebegini memberi isyarat yang cukup bermakna. Kita mesti terus menggalakkan semua pihak untuk berunding secara serius demi masa depan Myanmar dan kesejahteraan rakyatnya," katanya.
Pada 28 Mac lalu, Myanmar dilanda gempa bumi kuat dengan magnitud 7.7, menyebabkan lebih 3,700 kematian dan mencederakan lebih 5,000 orang.
Tragedi ini mendorong usaha diplomatik baharu untuk menghentikan pertempuran dan memudahkan bantuan kemanusiaan.
NUG dan sayap bersenjatanya, Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF), mengumumkan gencatan senjata dua minggu bermula 30 Mac lalu di kawasan terjejas gempa dengan tiga kumpulan etnik bersenjata, turut menyatakan persetujuan terhadap gencatan senjata sementara.
Konflik di Myanmar bermula selepas rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021, apabila Angkatan Tentera Myanmar (Tatmadaw) menggulingkan kerajaan awam yang dipilih secara demokratik, yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi dan Parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD).
Rampasan kuasa ini mencetuskan protes besar-besaran yang kemudiannya berkembang menjadi perang saudara berskala penuh.
Comentarios