Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi (petang waktu Malaysia) bertemu Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani (gambar, kanan) di Amiri Diwan.
Usai pertemuan itu PM dijadualkan bertemu rakan sejawatannya PM Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, yang juga merupakan Menteri Luar Qatar.
Kedua dua pemimpin dijangka membincangkan hubungan dua hala Malaysia - Qatar dan isu utama di Asia Barat berkenaan serangan Israel ke atas Rafah di Palestin.
Pada sebelah petangnya, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan berkongsi potensi dan peluang pelaburan serta kemajuan terkini ekonomi Malaysia kepada kira-kira 30 pemimpin industri Qatar.
Selain itu, PM dalam hantaran di laman sosial X berkata beliau akan menghadiri Forum Ekonomi Qatar serta merasmikan kampus cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha.
Untuk rekod, Qatar merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.
Perdagangan dua hala pada tahun lalu berjumlah RM4.2 bilion.
Delegasi Malaysia ke Qatar kali ini disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
*Foto kredit: Afiq Hambali/PMO
Comments