PM Anwar bentang RMK-13 di Parlimen 28 Julai
- Suara Keadilan
- Jun 18
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada sidang Parlimen pada 28 Julai ini, kata jurucakap kerajaan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata draf rancangan lima tahun itu telah dibentangkan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron dalam taklimat kepada anggota Kabinet.
"Ada kalangan Menteri sudah menerima rangkuman ringkasan draf tersebut yang akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Julai ini yang bermula pada 21 Julai.
"Perdana Menteri telah meminta supaya setiap kementerian meneliti draf yang sudah dibentangkan itu dan memberi maklum balas kepada Kementerian Ekonomi dalam masa terdekat sebelum ia dimuktamadkan dalam pembentangkan di Parlimen," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, pembentangan RMK-13 menjadi tanda tanya sama ada terdapat kemungkinan ia ditanggguh apabila Rafizi Ramli meletakkan jawatan Menteri Ekonomi berkuat kuasa pada 17 Jun lalu, memandangkan penyediaan rancangan lima tahun ini berada di bawah portfolio kementerian terbabit.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lalu menyatakan dokumen rancangan itu akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat akan datang dengan menganggap ia bakal menjadi titik tolak kepada usaha negara menangani pelbagai cabaran ekonomi termasuk jurang pembangunan dan pendapatan.
RMK-13 adalah antara dokumen dasar utama kerajaan untuk melaksanakan agenda Ekonomi Madani, kata beliau.
"RMK13 menjadi pemacu utama dalam menyelesaikan isu jurang pembangunan, kekangan kewangan negara dan kelembapan perubahan struktur ekonomi," kata Anwar lagi.
Commenti