PM Anwar arah baiki segera titi runtuh di Kuala Krai
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum insiden runtuhan titi gantung di Kuala Krai, Kelantan pada Khamis.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan berkata, arahan sudah dikeluarkan agar peruntukan disediakan segera bagi menggantikan jambatan di Lata Rek itu demi keselamatan dan kemudahan rakyat.
"Perdana Menteri memandang serius insiden runtuhan sebuah titi gantung yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar.
"Perdana Menteri menzahirkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada lebih 50 mangsa yang terlibat dalam kejadian itu, khususnya pasangan pengantin dan keluarga yang diuji dengan musibah," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, lebih 50 tetamu termasuk rombongan pengantin lelaki berdepan detik cemas apabila titi gantung di Sungai Chatel Damai, Lata Rek runtuh, menyebabkan mereka terjatuh ke dalam sungai.
Kejadian sekitar pukul 2.00 petang itu dipercayai berlaku ketika rombongan pengantin lelaki dalam perjalanan pulang dan bertembung dengan tetamu yang baru selesai menghadiri kenduri di atas titi tersebut.
Sementara itu, PMO dalam kenyataan sama memaklumkan, kerja-kerja penggantian jambatan tersebut akan dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pantas, berkesan serta menjamin keselamatan dan akses penduduk setempat.









Comments