PM 9 perlu hadapi Undi Percaya untuk tentukan majoriti, keabsahan


Hujah mengatakan Undi Percaya di Parlimen tidak terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen tidak perlu dijadikan medan untuk mengesahkan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri (PM) tidak wajar timbul pada waktu ini.


Bagi pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, biar pun Undi Percaya perlu dilakukan selepas seseorang PM mengangkat sumpah tidak ditulis namun hal itu adalah cara yang baik untuk memastikan kerajaan yang stabil dibentuk dan juga merupakan sebahagian daripada roh demokrasi berparlimen.


"Perlu apa PM ke Parlimen menghadapi usul percaya? Sebab selain daripada apa yang dititah Tuanku, walaupun tidak disebut dalam Perlembagaan tetapi Perlembagaan ini adalah rangka, undang-undang Perlembagaan tidak boleh difahami seperti undang-undang lain. Undang-undang kontrak, keluarga, jenayah atau sebagainya.


"Ini sedikit berbeza. Barangkali ramai yang tersilap. Dia membaca secara mekanikal. Perlembagan tidak boleh dibaca secara mekanikal dan harus dilihat secara konteks sejarah, kejadian itu (semasa) dan ditambah dengan konvensyen, amalan dan sebagainya. Sebab itu saya katakan, seperti banyak disebut oleh sarjana, Perlembagaan hanyalah bare bone. Tak ada daging dan tak ada nyawa.


"Ia berbeza sedikit dengan undang-undang pentadbiran. Walaupun dalam kelompok yang sama, undang-undang awam. Namun undang-undang Perlembagaan lebih rigid.


"Soal sudah angkat sumpah keabsahan telah ada tidak betul. Kalau upacara sudah cukup untuk mengabsahkan kedudukan itu, Mahiaddin Yassin serupa juga. Dia juga melalui proses angkat sumpah tetapi keabsahan beliau dipersoalkan hampir setahun lebih. Jadi upacara angkat sumpah tidak menyelesaikan, atau kriteria muktamad seseorang itu ada keabsahan yang diperlukan," kata Dr Aziz dalam sesi siaran langsung Facebook, malam tadi.


Ketua Pembangkang DUN Perak itu juga mengingatkan bahawa usul Undi Percaya selepas PM angkat sumpah jawatan secara bukan melalui PRU juga telah dianggap amalan biasa dalam politik Malaysia kerana telah dilakukan oleh dua PM sebelum ini, Tun Hussen Onn dan Tun Abdullah Badawi.


"Waktu Tun Hussen mengantikan Tun Razak, dia juga melalui angkat sumpah. Selepas diumumkan Tun Razak meninggal di London, Hussen dilantik sebagai PM dan waktu itu tidak ada masalah majoriti. BN ada 2/3 dalam Parlimen. Dia dilantik, angkat sumbah dan masuk Parlimen (Undi Percaya).


"Begitu juga ketika peletakan jawatan Tun Mahathir pada 2003, Tun Abdullah Badawi jadi PM, pun sama juga. Waktu itu ada 2/3 majoriti. Tak ada masalah.


"Sekarang ini kurang 2/3. Alasan itu lebih kuat lagi. Bila kata tak perlu kerana sudah angkat sumpah, itu saya kata tak betul.


"Ini bukan soal legaliti tetapi mempastikan dia betul. Apatah lagi apabila Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan secara jelas PM perlu ke Parlimen mengesahkan majoriti, bermakna Agong sanggup diadili (jika pilihan Baginda kalah). Ini satu perkara yang jarang berlaku.


"Kemungkinan salah itu ada, kerana mungkin ada (Ahli Parlimen) yang belot. Mungkin di dewan dia tak berani nak menunjukkan dia pasukan Ismail, mungkin dia lari. Jadi itu kemungkinan yang boleh berlaku kerana kita tahu sosok ini tidak popular.


"Apa pun di seluruh dunia, sarjana Perlembagaan mengatakan selepas dilantik sebaik-baiknya diuji dalam dewan. Dan tidak berlawanan dengan Perlembagaan. Hanya tidak disebut sahaja," katanya.


Dr Aziz mengulas pendapat Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz yang sebelum ini berkata Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan PM.


Dr Sham dalam hujahnya menjelaskan beliau mengambil berat tentang fungsi perkenan oleh Agong kerana tidak mahu kemudian hari orang ramai atau para pemain demokrasi menyatakan perkenan Yang di-Pertuan Agong boleh disahkan oleh Parlimen.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER