PM 9: GRM yakin Anwar layak, Agong putuskan dengan bijaksana




Gabungan Reformis Malaysia (GRM) yakin Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan secukupnya untuk disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah dalam majlis mengadap yang dijadual pada esok hari.


Koordinator GRM, Mustaffa Kamil Ayub berkata, beliau turut yakin Agong akan membuat pertimbang yang semasak-masaknya berhubung cadangan pembentukan kerajaan baharu dipimpin oleh Datuk Seri Anwar.


"GRM yakin seperti sidang media oleh Datuk Seri Anwar, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia pada 23 September lalu, beliau selayaknya dipilih sebagai Perdana Menteri ke-9 Malaysia.


"GRM menjunjung kasih atas perkenan DYMM Agong menerima mengadap Datuk Seri Anwar pada 13 Oktober 2020. GRM yakin Tuanku akan membuat pertimbangan yang cukup bijaksana dengan memberikan keutamaan kepada semangat serta hasrat rakyat sewaktu PRU 14 lalu. GRM menjunjung kasih atas kebijakan Tuanku," katanya dalam sidang media di Tropicana, Petaling Jaya, malam tadi.

Mustaffa Kamil Ayub

Dalam sidang media itu juga, Mustaffa menyeru seluruh rakyat Malaysia bertenang menjelang detik pertemuan tersebut. Kepada para penyokong Datuk Seri Anwar, beliau menggesa agar dilakukan solat hajat dan zikir munajat bagi memudahkan majlis mengadap pada esok hari.


"GRM menyeru seluruh rakyat Malaysia bertenang, memperbanyakkan doa dan solat hajat agar Allah swt menganugerahkan keselamatan dan kesihatan DYMM Tuanku. Juga keselamatan, keamanan dan kemakmuran buat negara dan rakyat serta diselamatkan dari pandemik Covid-19


"GRM dan seluruh rakyat Malaysia juga rasa syukur kehadrat Allah swt di atas kurniaan kesihatan dan keselamatan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) tempohari," katanya lagi.

Brigadier Jeneral (B) Abdul Hadi Abdul Khattab

Sementara itu, Presiden PAHLAWAN, Brigadier Jeneral (B) Abdul Hadi Abdul Khattab, mengharapkan keputusan yang terbaik akan berlaku pada Selasa, 13 Oktober ini bagi merealisasikan agenda reformasi dan pembelaan kepada seluruh rakyat Malaysia.


"Saya selaku Presiden Pertubuhan PAHLAWAN yang dianggotai oleh veteran Angkatan Tentera Malaysia menyokong penuh kenyataan GRM.


"Kami berharap satu keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia akan berlaku pada 13 Oktober ini.


"PAHLAWAN sesungguhnya menanti dengan penuh harapan agar Datuk Seri Anwar dijadikan PM Malaysia ke 9. Kita juga melihat kepada masa hadapan negara.


"Kami menjangkakan hanya Datuk Seri Anwar mampu merobah dan membuat reformasi kepada rakyat Malaysia. Kami juga menjunjung kasih Kebawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Dr Idris Ahmad

Presiden Otai Reformis 1998, Dr Idris Ahmad pula meminta rakyat Malaysia terus berdoa agar memudahkan Datuk Seri Anwar dinobatkan sebagai PM Malaysia ke 9.


"Saya sebagai Pengerusi Otai Reformis 1998, kami menyokong penuh kenyataan GRM.


"Marilah kita rakyat Malaysia berdoa semoga Datuk Seri Anwar dinobatkan sebagai PM ke 9 untuk menyematkan Malaysia yang telah dilanda bermacam-macam cubaan, dari segi kesihatan dan ekonomi. Saya harap kita rakyat Malaysia berdoa Datuk Seri Anwar dinobatkan sebagai PM ke 9," katanya.


Manakala Pengerusi Pro 98 Reformis, Dr Badrul Amin Bahron mengulangi pendirian pertubuhan itu menyokong penuh sistem demokrasi Malaysia dan Raja Berpelembagaan demi keamanan negara tercinta.


GRM dianggotai 12 NGO pro Reformasi; Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT), Pro98 Reformis, Otai Reformis 98, Jingga 13 Malaysia, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ARM), Pertubuhan Kebajikan Pahlawan Malaysia (PAHLAWAN), Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM), Persatuan Media Sosial (PEMASSA), Gerak Aktif Sosioekonomi Amal Kebajikan (GASAK), Pertubuhan Gerakan Pejuang Negara Malaysia (GMPN), Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MASSA) dan Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO).

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio