top of page

Pluralisme: Kejernihan Pandangan Siddiq Fadzil vs Hj Hadi



Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: YB Tan Sri Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang ada menulis berkenaan bahaya idea pluralisme terhadap pembinaan sebuah negara seperti Malaysia yang berasaskan Melayu-Islam bertarikh 16 Julai 2024. Beliau menggunakan dua hujah untuk menjustifikasikan pluralisme sebagai sangat bahaya terhadap kedudukan agama Islam di Malaysia.


Hujah pertama adalah idea tersebut meletakkan kedudukan Islam setaraf dengan agama lain. Bagi beliau pluralisme tidak meletakkan Islam itu tinggi berkuasa sehingga memimpin manusia bermasyarakat majmuk. Hujah kedua yang digunakan oleh Hj Hadi adalah pluralisme dibina atas slogan perpaduan yang sangat rapuh, sekalipun terdapat persamaan dalam amalan yang baik atau berkebajikan antara agama berbeza, namun bagi beliau perkara pokok adalah perbezaan akidah dan syirik terhadap Allah SWT memisahkan Islam dengan agama lain untuk berjalan seiring membina struktur negara ini.


Tekan perbezaan agama


Idea yang diketengahkan oleh Hj Hadi lebih banyak menekankan perbezaan antara agama Islam dan selainnya, persamaan yang wujud tidak dijadikan asas untuk penyatuan pembinaan negara bersama. Hujah Hj Hadi yang menyatakan idea pluralisme menuntut Islam diletak setaraf dengan agama lain adalah tersasar.


Ahli falsafah yang mengembangkan pluralisme bermula abad ke-18 seperti David Hume, John Stuart Mill dan Charles Montesquieu hanya membincangkan idea tersebut dalam bentuk kewujudan bersama antara nilai yang pelbagai (co-existence). Pluralisme tidak pernah mengenepikan hak individu untuk menganggap nilai/ agama mereka lebih tinggi, namun apa yang lebih penting adalah untuk nilai/ agama berbeza ini wujud dalam suasana menghormati kewujudan nilai/ agama yang lain.


Konsep saling mengenal


Menurut Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil pula konsep co-existence ini telah dibincangkan di dalam Al-Quran melalui konsep ‘saling mengenal’. Semangat dari konsep saling mengenal (co-existence) telah membentuk bingkai pemersatu yang dapat mencipta kerukunan, kedamaian dan kesatuan bangsa. Islam mengiktiraf kebebasan beragama (la ikraha fi al-din) sekaligus mengiktiraf semangat kesalingan yang inklusif dengan agama lain.


Hujah kedua oleh Hj Hadi menolak konsep pluralisme dalam pembinaan Malaysia adalah kerana konsep tersebut dibina atas slogan perpaduan yang sangat rapuh, Hj Hadi melihat kepelbagaian akidah dan nilai yang wujud adalah perkara yang memisah dan bukan sesuatu yang wujud untuk diraikan.


Dr. Siddiq Fadzil melihat kepelbagaian yang wujud dalam wacana pluralisme telah diraikan oleh masyarakat nusantara sebelum terbentuk Malaysia lagi. Semangat ummatik-inklusif yang dibawa di dalam Sahifah Madinah dapat diserasikan dengan kearifan lokal Bhinneka Tunggal Ika (Pelbagai Dan Beragam Tetapi Tetap Bersatu).


Semangat tersebut turut terukir pada moto Bersekutu Bertambah Mutu, justeru bagaimana mungkin kita menolak konsep pluralisme dalam pembinaan negara Malaysia yang rencam ini kerana ia telah berakar umbi dalam sejarah kaum Melayu.


Pegangan nilai agama


Kekhilafan Hj Hadi dalam memaknai konsep pluralisme adalah apabila beliau hanyut dibawa definisi yang diketengah oleh ahli falsafah yang tidak terikat kepada nilai dan agama, sedangkan ahli falsafah awal yang mengembangkan idea pluralisme adalah mereka yang sangat terikat dengan pegangan nilai dan agama.


Pluralisme sebagai sebuah konsep adalah bebas untuk diwacanakan dalam aliran yang berbeza, jika perbincangan itu membawa kepada penghakisan nilai dan agama, maka hasilnya akan membawa perbezaan dan permusuhan. Namun jika idea pluralisme diwacanakan berpandukan nilai dan agama, maka budaya damai yang menjadi imej sebenar Islam akan muncul sebagai konsep universal.


___________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page