Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) yakin Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mahu dilaksanakan semula oleh Kerajaan Perpaduan mampu meningkatkan sahsiah dan jati diri anak muda Malaysia pada masa hadapan.
Menurut Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim, program PLKN boleh membina karakter belia yang kebelakangan ini mula hilang punca akibat propaganda berterusan menjurus ke arah perkauman dan agama sempit yang tidak sihat.
"ABIM dan MBM menekankan PLKN perlu dilaksanakan dengan menyeimbangkan antara modul latihan ketenteraan dan literasi tatanegara bagi memperkasakan jatidiri generasi muda di samping memupuk patriotisme tinggi dalam jiwa mereka.
"ABIM dan MBM menyokong sepenuhnya pelaksanaan PLKN dengan harapan ia juga menerapkan nilai kemanusiaan, supaya para peserta dapat lebih memahami soal hak asasi manusia dan penderitaan mereka yang dizalimi terutama di Palestin.
"ABIM percaya kemelut yang berlaku di negara kita ketika ini adalah kerana kita kurang berkomunikasi dan berinteraksi antara kaum dan agama yang berbeza.
"ABIM menegaskan hal ini menyebabkan berlakunya perang politik identiti, akibat kurangnya sifat saling menghormati dan membantu," kata Zairudin dalam satu kenyataan.
Perkara berkenaan, kata beliau, ditegaskan sewaktu Sesi Perbahasan Usul dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang berlangsung pada 23 November 2023, di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras.
Menyentuh politik identiti, kata Zairudin, ABIM memetik bagaimana Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz ketika mengupas topik Kosmopolitanisme Islam dan Pembinaan Bangsa Malaysia (Ucapan Dasar Presiden ABIM 2020) yang menekankan soal peri pentingnya perpaduan dan saling berkongsi nilai yang sama dalam kalangan Bangsa Malaysia yang bertamadun, seperti menolak rasuah dan saling bantu apabila berlakunya musibah atau bencana alam.
Juga, katanya, ABIM menyingkap tamadun agung Islam masa lalu seperti di Andalusia yang berinteraksi dengan tamadun Hindu dan China untuk belajar mengembangkan teori Matematik dan mencetak buku pada harga yang lebih murah.
"ABIM menegaskan bahawa inilah semangat "Li Ta'arafu" yang bukan hanya bermaksud seruan untuk saling mengenal, malah supaya kita saling berinteraksi dan menghormati dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
"ABIM menegaskan pembinaan karakter belia dan pemerkasaan negara bangsa sangat penting untuk kita rangkul. Dan program PLKN adalah platform yang sangat baik," katanya lagi.
Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 mengikut kaedah latihan berbeza dengan menempatkan pelatih di kem tentera.
Comments