Penyebaran berita kononnya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan akan memanggil peserta daripada usia 16 - 35 tahun adalah tidak tepat sama sekali.
Berita yang luas tersebar di laman sosial itu diulas oleh segmen anti berita palsu Kementerian Komunikasi dan Digital.
Menurut segmen 'Biar Betul', latihan PLKN yang dilaksanakan tahun hadapan hanya akan memanggil peserta yang lahir pada tahun 2007 dan ke atas.
"Semakan Biar Betul mengenai berita yang tersebar adalah tidak tepat.
"Menurut Kementerian Pertahanan, pemilihan pelatih adalah dibuat mengikut garis permulaan tahun kelahiran.
"Ini bermakna jika PLKN 3.0 dilaksanakan tahun depan maka hanya mereka yang lahir tahun 2007 akan dipanggil menjalani latihan," kata segmen itu.
Berkenaan usia 35 tahun diterima sebagai pelatih PLKN, hal itu adalah disebabkan individu yang dipanggil memberikan alasan munasabah untuk penangguhan dan dibenarkan sehingga usia 35 tahun.
"Calon bagaimanapun boleh membuat penangguhan sehingga had usia maksimum 35 tahun," kata segmen itu memetik kenyataan daripada Kementerian Pertahanan yang dikeluarkan semalam.
Comentarios