PLATS bukti dasar pro-usahawan Selangor berhasil - Amirudin
- Suara Keadilan

- Nov 23
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh sokongan terhadap usahawan kecil apabila hampir 100,000 peniaga kini berdaftar melalui Platform Selangor (PLATS).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PLATS yang lahir sebagai inisiatif segera ketika pandemik Covid-19, kini berkembang pesat dan menjadi antara program paling berjaya di negeri itu.
Kejayaan itu jelasnya, membuktikan dasar pro-usahawan dicetuskan Kerajaan Negeri bukan sekadar bantuan sementara, tetapi dibangunkan sebagai ekosistem lengkap untuk pertumbuhan jangka panjang.
"PLATS bermula sewaktu Ramadan ketika kita tidak ada ruang fizikal akibat PKP. Kita laksanakan jualan atas talian dan dari situ ia berkembang.
"Hari ini, PLATS bukan sahaja mempromosi dan menyenaraikan peserta, malah membentuk sebuah komuniti besar yang kini menghampiri 100,000 penjaja dan usahawan mikro di seluruh Selangor berbanding hanya sekitar 500 ketika dimulakan," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu menerusi ucapan di Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Selangor 2025 di Tapak Penjaja The Roundabout@Putra Heights.
Acara dua hari ini menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran jualan, tayangan montaj penjaja digital, dapur PLATS bersama selebriti, persembahan UPM, Jualan Ehsan Rahmah serta penyampaian anugerah yang mengiktiraf inovasi, kebersihan dan kreativiti para penjaja.
Amirudin sementara itu menjelaskan, Kerajaan Negeri menyedari pendanaan bukan satu-satunya faktor kejayaan usahawan kecil. Sebaliknya, penguasaan ilmu, jaringan perniagaan serta penggunaan teknologi adalah pemangkin sebenar untuk melonjakkan jualan dan produktiviti.
Justeru pihaknya akan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui digitalisasi, latihan, bantuan serta sokongan pembiayaan bagi memastikan penjaja dan peniaga kecil terus menjadi pemacu ekonomi komuniti serta aset penting pembangunan negeri.









Comments