Platform media sosial wajib sahkan umur, kukuh kawalan scam, kandungan bahaya
- Helmi Mohd Foad
- 13 hours ago
- 3 min read

Penyedia perkhidmatan media sosial berlesen kini diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad atau pasport bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun pada platform masing-masing.
Kementerian Komunikasi memaklumkan langkah itu dilaksanakan menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code, CPC) yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan kanak-kanak dan pengguna di ruang digital.
"Di bawah Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code – RMC) yang turut berkuat kuasa pada 1 Jun lalu, pemberi perkhidmatan berlesen diwajibkan melaksanakan langkah pengurangan risiko termasuk memastikan iklan berbayar hanya disiarkan oleh pengiklan yang identitinya telah disahkan.
"Pemberi Perkhidmatan Berlesen bertanggungjawab melaksanakan langkah pengurangan risiko, termasuk memastikan iklan berbayar hanya disiarkan oleh pengiklan yang identitinya telah disahkan berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh kerajaan," kata kementerian dalam jawapan lisan yang dimuat naik di laman web Parlimen.
Ia bagi menjawab soalan lisan Senator Musoddak Ahmad yang meminta kerajaan menjelaskan tanggungjawab platform media sosial berlesen terhadap iklan berbayar yang menipu pengguna, termasuk tindakan pemadaman kandungan, sekatan akaun dan perkongsian maklumat pengiklan kepada pihak berkuasa.
Kementerian berkata, platform media sosial turut diwajibkan menyediakan Pelan Keselamatan Dalam Talian bagi membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menilai tahap pematuhan serta keberkesanan langkah keselamatan yang dilaksanakan.
"Mereka juga diwajibkan menyediakan Pelan Keselamatan Dalam Talian sebagai asas penilaian MCMC terhadap tahap pematuhan dan keberkesanan langkah keselamatan yang dilaksanakan."
Menurut kementerian, kegagalan mematuhi kewajipan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) boleh mengundang tindakan tegas.
"Sekiranya platform gagal mematuhi kewajipan tersebut, Seksyen 30 Akta 866 memberi kuasa kepada MCMC untuk mengeluarkan arahan bertulis," ujarnya.
Katanya, kegagalan mematuhi arahan itu merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, selain denda tambahan sehingga RM100,000 sehari bagi kesalahan yang berterusan selepas sabitan.
Selain itu, ketidakpatuhan terhadap kewajipan di bawah Bahagian III Akta 866 boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta.
Dari aspek penguatkuasaan, kementerian memaklumkan bahawa bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Julai 2026, MCMC telah mengemukakan 292,102 permohonan penurunan kandungan penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran, dengan 279,875 kandungan atau 96 peratus berjaya diturunkan.
Bagi iklan, produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan pula, sebanyak 20,114 permohonan telah dikemukakan, dengan 17,285 kandungan atau 86 peratus berjaya diturunkan, katanya.
Dalam tempoh sama, sebanyak 17,418 laman sesawang disekat, termasuk 5,103 kes di bawah bidang kuasa MCMC manakala 12,315 kes lagi melibatkan agensi penguat kuasa lain.
Kementerian turut menggesa orang ramai segera melaporkan akaun atau iklan yang disyaki mempunyai unsur penipuan kepada platform berkaitan dan pihak berkuasa.
"Bagi kes melibatkan pemindahan wang atau menjadi mangsa penipuan kewangan, orang ramai disarankan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 dengan segera bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk membantu menyekat aliran dana dan menyokong siasatan pihak berkuasa."
Sementara itu, menjawab soalan lisan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai tindakan terhadap individu yang berulang kali menyalahgunakan platform digital untuk mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau menghasut masyarakat, kementerian berkata MCMC terus melaksanakan pemantauan proaktif serta tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menurut kementerian, bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2026, sebanyak 14,169 permohonan penurunan kandungan berunsur 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) telah dikemukakan kepada penyedia platform, dengan 8,750 kandungan atau 62 peratus berjaya diturunkan.
Dalam tempoh sama, MCMC menyiasat 462 kes di bawah Seksyen 233 Akta 588 membabitkan isu 3R. Daripada jumlah itu, 22 kes didakwa di mahkamah, manakala mahkamah menjatuhkan denda keseluruhan RM189,000 selain hukuman penjara terhadap lima pesalah, ujarnya.
Kementerian berkata sejak Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026 hingga 30 Jun 2026, sebanyak 11 kandungan berunsur ucapan kebencian yang mengganggu ketenteraman awam telah dikemukakan kepada pemberi perkhidmatan berlesen dan kesemuanya berjaya diturunkan.
"Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama melalui pendekatan Whole-of-Government bagi memastikan ruang digital negara kekal selamat. Kerajaan kekal komited menjamin hak kebebasan bersuara namun hak tersebut hendaklah diamalkan secara bertanggungjawab dan tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan ketenteraman awam, keselamatan negara atau hak orang lain," katanya lagi.
