Platform media sosial perlu patuh Akta 866 - Fahmi
- Suara Keadilan

- Jun 25
- 1 min read

Kementerian Komunikasi akan mengambil tindakan tegas terhadap platform media sosial yang gagal mematuhi keperluan pengesahan umur pengguna seperti ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, kegagalan mana-mana pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen untuk mematuhi akta tersebut boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta.
"MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) boleh mengeluarkan notis ketidakpatuhan kepada penyedia platform yang didapati melanggar peruntukan di bawah Bahagian III Akta 866.
"Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan merupakan satu kesalahan dan apabila disabitkan di mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta serta denda tambahan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan," katanya dipetik pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan (PH-Bangi) bertanyakan mengenai langkah kerajaan memastikan syarikat media sosial mematuhi keperluan pengesahan had umur pengguna serta tindakan yang akan dikenakan sekiranya mereka gagal berbuat demikian.
Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian.
Ia termasuk memastikan pengguna berusia bawah 16 tahun tidak memiliki akaun media sosial tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata kerajaan telah memulakan siri libat urus dengan syarikat media sosial sejak Januari lalu menerusi pelaksanaan medan uji kaji kawal selia atau regulatory sandbox bagi membincangkan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur pengguna.
Menurutnya, lebih 30 sesi libat urus telah diadakan sama ada secara bersama mahupun berasingan dengan platform media sosial terbabit.




Comments