Jangkamasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin melebihi 1 bulan sebagaimana kenyataan Tan Sri Ketua Pengarah Kesihatan baru-baru ini menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat marhaen.
Bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, tempoh jangkaan sebulan PKP dan usaha melandaikan lekuk penularan Covid-19 yang mungkin mengambil masa tiga bulan pasti akan menjejaskan dengan teruk kehidupan rakyat.
Beliau yang tidak menafikan keberkesanan PKP dalam tempoh Mac - Mei 2020 lalu, bagaimanapun meramalkan 'perintah berkurung' kali ini akan menggugat banyak syarikat yang baharu sahaja pulih dalam tempoh PKP Bersyarat sehingga hujung tahun lalu.
"Tidak boleh dinafikan PKP langkah perlu pada waktu ini. Walau bagaimanapun, ia dilaksana dalam keadaan banyak syarikat dan pekerja baru mula hendak ‘bernafas’ semula selepas siri PKP tahun 2020.
"Dari pengamatan saya, banyak syarikat, restoran, dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sangat terkesan malah mungkin terpaksa ditutup dan pekerjanya ramai yang akan dibuang kerja.
"Dari segi ekonomi, perlu diingat bahawa Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Johor menyumbang 62.7% KDNK pada 2019.
"Pada ketika kadar pengangguran meningkat ke 4.8% setakat November 2020, sudah pasti PKP terbaru di enam negeri ini akan meninggalkan kesan mendalam kepada ekonomi negara," katanya.
Sehubungan itu, Fahmi menyarankan kerajaan Perikatan Nasional untuk memberi beberapa kelonggaran dan bantuan kepada rakyat bagi meringankan bebanan kehidupan mereka sepanjang tempoh PKP yang masih tidak pasti penghujungnya.
"Kerajaan dalam hal ini harus melaksanakan moratorium pinjaman bank, syarikat kredit dan agensi seperti TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia secara otomatik sehingga 31 Jun 2021. Juga memberi sewa percuma bagi penghuni rumah PPR sehingga 31 Jun 202.
"Kerajaan juga perlu menguatkuasakan larangan terhadap tindakan pengusiran (eviction) dan pemilikan semula (repossession) terutama bagi pemilik individu, sehingga sekurang-kurangnya 31 Jun 2021
"Mereka juga kena memastikan semua pemohon yang mahu mengeluarkan dana dari Akaun 1 KWSP dibantu secukupnya, termasuk mempermudah proses dengan mengurangkan syarat-syarat yang dikenakan seperti sebelum ini," katanya lagi.
Fahmi juga menyarankan agar kerajaan menambah dana serta memperluas sektor-sektor pekerjaan yang layak menerima bantuan Program Subsidi Upah 3.0 PERKESO.
Begitu juga, katanya, perlu dilanjutkan tempoh kuatkuasa Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 (Akta 829) sehingga 31 Disember 2021, terutama bagi bahagian-bahagian yang melibatkan kontrak, insolvensi, Akta Sewa Beli dan mana-mana perkara lain yang difikirkan perlu bagi meminimakan beban rakyat.
Selain itu, menurut Fahmi, pihak Kerajaan perlu segera menyatakan langkah-langkah atau bantuan-bantuan tambahan lain yang akan dilaksana bagi memastikan rakyat Malaysia, khususnya di enam negeri berkenaan, akan mendapat sokongan yang secukupnya selama PKP dilaksana.
Comments