Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang Prosedur Operasi Standardnya (SOP) diperketatkan akan menjejaskan pendapatan golongan peniaga, pekerja harian dan sebagainya.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Ysharuddin Kusni mencadangkan agar kerajaan Perikatan Nasional memberi lebih banyak bantuan kepada rakyat yang terjejas dalam beberapa bulan mendatang.
"Kerajaan dalam hal ini boleh mewujudkan semula skim i-Lestari 2.0 dan i-Sinar 2.0 untuk meringankan beban sesetengah golongan
"Kerajaan juga perlu memikirkan moratorium pinjaman bank untuk suatu tempoh munasabah
"Begtu juga pengurangan bayaran bil utiliti seperti air dan elektrik sepanjang PKP dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, ADUN Bukit Naning itu juga mencadangkan kerajaan agar memperkenalkan aplikasi khusus untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di bawah Kementerian Pendidikan.
Aplikasi tersebut katanya, boleh membantu warga pendidik dan ibubapa menjalani silibus pendidikan para pelajar. Manakala aplikasi sebaik-baiknya boleh dimuat turun di telefon bibit yang akan memudahkan pembelajaran
"Suntikan khas bantuan kepada pengusaha kecil yang terjejas juga perlu difikirkan agar mereka boleh memulakan semula perniagaan selepas PKP berakhir
"Bantuan wajar tertumpu kepada peniaga kecil, pekebun kecil dan pekerja swasta syarikat kecil. Tiga golongan ini sememangnya akan menerima impak yang besar sepanjang perlaksanaan PKP," katanya lagi.
Ysharuddin turut menggesa kempen vaksinasi diperhebatkan sepanjang tempoh PKP.
Beliau menyarankan diberi ruang yang luas kepada Kerajaan Negeri untuk membeli vaksin termasuk sektor swasta dibenarkan membeli vaksin sendiri untuk para pekerja mereka.
Comments