PKORM anjur Jamuan Hari Raya, perkukuh silaturahim Otai Reformis
- Suara Keadilan

- Apr 17
- 2 min read

Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) menganjurkan majlis Jamuan Hari Raya dalam usaha mempererat ukhuwah sesama Otai Reformasi di Dewan Cenggal, Pantai Eco Park Lembah Pantai, malam tadi.
Majlis yang bermula seawal jam 7 malam itu diisi dengan ketibaan tetamu dan pendaftaran, diikuti solat Maghrib serta berbuka puasa sunat Syawal.
Pengerusi PKORM Pusat, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa dalam ucapannya berkata penganjuran program seumpama itu penting bagi mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli serta rakan-rakan perjuangan.
“Majlis ini bukan sekadar sambutan Hari Raya, tetapi menjadi medan untuk kita memperkukuhkan ukhuwah dan meneruskan semangat perjuangan reformasi dalam konteks masyarakat hari ini,” katanya.

Turut disampaikan ucapan khas oleh Datuk Mustaffa Kamil Ayub yang juga Pengerusi INSKEN dan Ahli Lembaga Pengarah UiTM.
Pada majlis sama, satu gimik pelancaran Modul Tarbiyah Reformis PKORM turut disempurnakan oleh Mustaffa Kamil, sebelum diteruskan dengan sesi bergambar.
Antara tetamu yang hadir termasuk Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad; Setiausaha Politik Menteri Komunikasi, Izhar Yusof; Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar; Hee Loy Sian serta Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, selain wakil pelbagai NGO dan PKORM negeri.
Menurut kenyataan itu, PKORM merakamkan penghargaan kepada penyumbang termasuk Restoran Amjal serta Pejabat Khidmat Fahmi Fadzil yang menyediakan dewan serta peralatan siar raya.
PKORM turut menegaskan bahawa pertubuhan itu berperanan sebagai jambatan antara aktivisme Reformasi dan pembangunan masyarakat madani melalui pelaksanaan program kebajikan, pendidikan dan kesedaran politik berteraskan nilai keadilan serta kemanusiaan.
"Sehubungan itu, semua reformis sama ada generasi 1998 atau generasi penerus dialu-alukan menyertai PKORM sebagai wadah perjuangan bagi memastikan kesinambungan agenda reformasi," ujar Setiausaha Agungnya, Shaiful Anuar Sulaiman pada penutup majlis.




Comments