Perdana Menteri Datuk Seri Ismail sabri Yaakob perlu mencipta satu lagi legasi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 untuk memperkukuh imejnya dalam kalangan rakyat dan juga ahli Umno.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, PM Ismail perlu mengusahakan perubahan penting dalam perundangan, iaitu pemisahan kuasa di antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Katanya, peranan Peguam Negara sekarang Tan Sri Idrus Harun yang sekaligus menjadi Pendakwa Raya mendapat bantahan banyak pihak, terutama ahli ahli Umno yang mahukan perubahan selepas bekas Perdana Menteri Najib Razak disumbat ke penjara baru baru ini.
"PM Ismail Sabri perlu mendengar rasa tidak puas hati ahli-ahli Umno, pemimpin-pemimpin Umno dan penyokong-penyokong tegar Najib Razak, Rosmah Mansor dan Ahmad Zahid Hamidi.
"Apa kata mereka? Mereka menuduh berlakunya pendakwaan berpilih-pilih. Tuduhan ini dilemparkan kepada Pendakwa Raya yang juga berperanan sebagai Peguam Negara," katanya.
Menurut Hassan lagi, jalan penyelesaian desakan Umno itu tentu sekali tidak sebagaimana dicadangkan oleh segelintir pemimpin parti Melayu itu, iaitu Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya perlu tunduk kepada arahan Perdana Menteri dan parti politik yang berkuasa.
Cadangan itu, katanya, boleh menjerumuskan situasi di Malaysia sebagaimana negara-negara jiran satu waktu dahulu iaitu Filipina di bawah diktator Marcos dan Indonesia di bawah diktator Suharto.
Selain itu, menurut Hassan, penyokong Pembangkang khususnya penyokong Pakatan Harapan juga seperti orang-orang Umno pernah mendakwa wujudnya pendakwaan berpilih-pilih apabila pemimpin mereka didakwa di mahkamah.
"Mereka tidak puas hati kepada Peguam Negara yang bertindak sebagai Pendakwa Raya.
"Jadi, PM Ismail Sabri tidak perlu membubarkan Parlimen sekarang. Adakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada tahun hadapan tetapi selepas membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memisahkan jawatan Peguam Negara dan jawatan Pendakwa Raya.
"Semua parti politik akan bersetuju dalam hal ini, sama ada Umno dan BN, PH, Perikatan Nasional termasukkah Pejuang dan GTAnya," cadang Hassan.
Menurut Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) itu lagi, pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen iaitu seramai 148 Ahli Dewan Rakyat bersetuju.
Dalam hal ini, katanya, PM Ismail sudah dua kali berjaya melakukannya dengan disokong oleh kedua-dua Blok Kerajaan dan Pembangkang.
"Kali pertama dalam pindaan kedudukan wilayah Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963, diiktiraf di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kali kedua apabila undang-undang berkenaan anti-lompat parti berjaya diluluskan dalam bentuk pindaan Perlembagaan.
"Jadi, ini adalah peluang ketiga untuk PM Ismail meninggalkan legasinya dengan usaha memisahkan jawatan Peguam Negara dan jawatan Pendakwa Raya.
"Bukan berapa lama tempoh seseorang Perdana Menteri itu berkuasa yang penting. Tetapi yang diutamakan apakah kejayaan yang dicapainya biar pun pemerintahan seseorang Perdana Menteri itu pendek sekalipun," ujarnya
Meskipun Hassan bersetuju dengan pandangan bahawa terdapat beberapa kelemahan PM Ismail sepanjang setahun pemerintahan beliau, namun katanya, pada waktu krisis kepimpinan PM Ismail terbukti mantap dan tidak tunduk kepada ugutan dan ancaman biar pun daripada partinya sendiri, Umno.
"Sikapnya yang menghormati kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa semasa detik genting lima hakim Mahkamah Persekutuan menjatuhkan keputusan terhadap Najib Razak adalah ciri penting kepimpinan PM Ismail bri yang disokong dan dihormati kawan dan lawan. Rakyat lega dengan sikap PM Ismail Sabri ini.
"Justeru itu untuk melengkapkan pencapaian cemerlang Ismail sebelum beliau berundur sebagai Perdana Menteri kesembilan,
adalah bijaksana dan bersifat seorang pemimpin satu keluarga Malaysia jika meninggalkan legasi penting, iaitu memisahkan jawatan Peguam Negara dengan jawatan Pendakwa Raya," kata Hassan lagi.
Comments