Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, yang memasukkan peruntukan “Anti-Menghendap atau Anti-Stalking” di Parlimen pada 3 Oktober lalu dialu alukan oleh Wanita KEADILAN.
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Juwairiya Zulkifli berkata pindaan RUU itu sangat membantu meningkatkan martabat wanita kerana menghendap tidak dianggap satu kesalahan yang spesifik sebelum ini.
"Saya menyambut baik pindaan RUU ini kerana sebelum ini menghendap atau stalking masih tidak dianggap sebagai satu kesalahan di Malaysia.
"Kajian yang dijalankan oleh Women’s Aid Organisation (WAO) dan Vase.ai pada 2020 mendapati lebih satu pertiga atau 36% rakyat Malaysia pernah dihendap mengakibatkan mereka ketakutan dan boleh menyebabkan kecederaan. Perbuatan menghendap ini juga dilakukan lebih daripada sekali dan secara berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati itu lagi, menghendap boleh merangkumi perbuatan mengekori, berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dengan sebarang cara, berlegar-legar di ruang kediaman atau tempat kerja seseorang atau memberi dan menghantar apa-apa sahaja kepada seseorang dalam apa jua cara yang tidak diigini atau menyebabkan ketakutan.
Meskipun telah wujud pindaan akta, Juwairiya berharap definisi menghendap akan diluaskan lagi dari semasa ke semasa bagi memudahkan mangsa untuk membuat laporan polis.
"Saya berpandangan definisi menghendap ini perlu diperluaskan untuk memasukkan perlakuan dan gangguan yang berterusan dan perlakuan menghendap yang melibatkan harta benda, agar perlindungan dapat diberikan kepada semua jenis menghendap yang dilakukan.
"Apa pun saya percaya dengan pindaan RUU ini akan mampu memberikan perlindungan dan menyediakan respons yang lebih substantif kepada mangsa atau pemandiri.
"Ini juga sekaligus memberi signal kepada mangsa atau pemandiri yang rata-ratanya adalah wanita agar tidak takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka menjadi mangsa menghendap," katanya.
Oleh itu Juwairiya berharap dengan peruntukan undang-undang tersebut akan dapat memberikan lebih rasa selamat kepada golongan wanita Malaysia.
Comments