Pindaan SST ambil kira keresahan orang ramai - MOF
- Suara Keadilan
- Jun 28
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI mengumumkan tiga pindaan dalam pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa bermula 1 Julai 2025.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi satu kenyataan memaklumkan langkah itu diambil susulan maklum balas daripada rakyat dan pihak industri terhadap peluasan skop SST yang diumumkan pada 9 Jun lalu lalu.
"Kerajaan MADANI kekal komited memastikan semakan SST ini bersifat progresif serta mengurangkan kesan kepada barangan keperluan asas dan beban yang ditanggung perniagaan kecil.
"Sesi libat urus bersama beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan telah dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan akar umbi berhubung isu tersebut," kata MOF.
Menurut MOF, antara pindaan utama dalam peluasan skop SST ialah pengecualian ke atas beberapa jenis buah-buahan import terpilih iaitu epal, oren, limau mandarin dan kurma.
"Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mengecualikan beberapa jenis buah import daripada dikenakan Cukai Jualan.
"Kerajaan juga memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan mengenakan Cukai Perkhidmatan terhadap perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, wajah, pendandan rambut dan gunting rambut," kata kenyataan itu
Selain itu menurut MOF, had nilai ambang pendaftaran tahunan untuk perkhidmatan sewaan, pajakan dan kewangan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
"Ini bermakna hanya perniagaan dengan jualan melebihi RM1 juta setahun akan dikenakan Cukai Perkhidmatan sebanyak 8% bagi perkhidmatan tersebut.
"Langkah ini bagi mengurangkan jumlah perniagaan kecil yang terkesan akibat peluasan skop Cukai Perkhidmatan serta membolehkan lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menikmati manfaat pengecualian cukai," jelasnya.
Menerusi kenyataan sama MOF menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan barangan keperluan harian seperti beras, ayam, daging lembu, telur, sayur-sayuran serta ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin kekal dikecualikan daripada Cukai Jualan.
Sehubungan itu, orang ramai dan peniaga disaran merujuk saluran rasmi MOF dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk maklumat lanjut mengenai pelaksanaan peluasan SST.
Comments