Pindaan SOSMA dijangka dibentangkan Jun atau Julai ini - Saifuddin
- Suara Keadilan

- 7 hours ago
- 1 min read

Kerajaan dijangka membentangkan pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat pada Jun atau Julai tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pindaan itu antara lain akan membuat pengkelasan bagi kesalahan di bawah akta itu, bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan.
"Kita akan membuat pengkelasan bergantung pada tahap seriusnya kesalahan itu. Jika tahap kesalahan yang membawa hukuman penjara yang berat, 20 atau 30 tahun misalnya, kita cenderung mencadangkan supaya tidak ada ikat jamin dalam tempoh yang ditetapkan.
"Bagaimanapun, bagi kesalahan yang hukumannya jauh lebih ringan, penentuan sama ada ikat jamin atau tidak boleh dilakukan majistret atau dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya. Ini antara perubahan berbanding status sekarang ini," katanya dipetik.
Saifuddin berkata begitu pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Sementara itu Saifuddin turut memaklumkan, kementeriannya juga bercadang mengadakan satu mahkamah khas bagi kes SOSMA.
Mengulas mengenai kewajaran mahkamah khas itu Saifuddin menjelaskan, ia bukan kerana kes itu terlalu serius, sebaliknya disebabkan prosiding kes itu yang mengambil masa terlalu lama.
"Kita mahu mempercepat proses itu kerana kritikan yang paling keras terhadap SOSMA adalah mereka yang terbabit itu, ketika tidak dibenarkan ikat jamin, prosiding yang lama untuk mereka tunggu dianggap sebagai satu hukuman," tambahnya.








Comments