top of page

Pindaan RUU Sewa Beli lebih adil, untungkan generasi muda, wanita

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 10
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam merupakan satu langkah besar ke arah pembaharuan sistem kewangan negara yang lebih adil, telus dan berpihak kepada rakyat.


Timbalan Bendahari Wanita KEADILAN Pusat, J Karen Kasturi (gambar) berkata, selama ini ramai rakyat Malaysia khususnya wanita dan golongan muda terperangkap dalam beban pinjaman kenderaan akibat penggunaan sistem kadar rata dan Rule of 78 yang tidak lagi relevan dengan prinsip keadilan ekonomi moden.


''Sistem ini secara tidak langsung menafikan hak pengguna untuk menikmati manfaat daripada pengurusan hutang yang bijak dan disiplin kewangan yang baik.


''Dengan pindaan ini, kerajaan memperkenalkan kaedah baki berkurangan (reducing balance method) di mana kadar faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, bukan jumlah pinjaman asal.


''Kaedah ini mencerminkan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan keadilan, ketelusan dan tanggungjawab sosial,'' katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Ujarnya, melalui sistem baharu itu, pengguna dapat menikmati penjimatan sebenar apabila membuat penyelesaian awal pinjaman.


Malah katanya, setiap bayaran bulanan diagihkan secara lebih adil antara pokok dan faedah.


''Ketelusan meningkat, membolehkan pengguna memahami kos pinjaman sebenar.


''Golongan wanita dan keluarga muda yang merupakan antara pembeli utama kenderaan pertama akan lebih terlindung daripada eksploitasi kadar rata.


''Ini bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi pembetulan struktur keadilan ekonomi yang sekian lama dituntut oleh rakyat,'' katanya lagi.


Menurut Karen, pindaan itu dilihat sebagai satu kejayaan reformasi dasar yang akan meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keseimbangan kuasa antara pengguna dan institusi kewangan.


Beliau berkata, sistem kewangan yang beretika dan berempati adalah asas kepada kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.


Antara inti pati pindaan RUU adalah bagi membenarkan pengguna menikmati baki pinjaman lebih rendah jika mahu menyelesaikannya lebih awal.


RUU itu juga bertujuan menambah baik Akta 212, menjadikannya lebih komprehensif, kondusif serta sesuai dengan peredaran masa, selain lebih adil dan saksama kepada pengguna, serta menangani isu kekangan penerimaan digitalisasi dalam aktiviti sewa beli.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page