Pindaan Perlembagaan: Reformasi had tempoh PM tersangkut dua undi
- Suara Keadilan
- 19 hours ago
- 1 min read

Kegagalan pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun untuk memperoleh majoriti dua pertiga baru baru ini menunjukkan bahawa reformasi institusi memerlukan komitmen politik yang lebih kukuh daripada semua Ahli Parlimen, kata Exco Wanita KEADILAN Pusat, Junaidah Makku.
Beliau berkata pindaan tersebut hanya memperoleh 146 undi, iaitu dua undi kurang daripada 148 undi yang diperlukan untuk mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat Malaysia.
Menurutnya, dalam sistem demokrasi berparlimen, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia bukan perkara kecil dan memerlukan disiplin serta komitmen penuh daripada setiap Ahli Parlimen.
"Kekurangan dua undi bukan sekadar angka, tetapi satu isyarat bahawa reformasi institusi memerlukan kesepaduan dan kemahuan politik yang lebih jelas," katanya dalam satu kenyataan.

Junaidah menegaskan bahawa agenda reformasi tidak boleh bergantung kepada seorang individu semata-mata, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sebaliknya memerlukan tanggungjawab bersama seluruh Parlimen.
"Reformasi adalah tanggungjawab bersama, bukan terletak di bahu Perdana Menteri semata-mata.
"Dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, setiap Ahli Parlimen memikul amanah konstitusional yang setara untuk memperkukuh undang-undang tertinggi negara melalui penyertaan aktif dan pengundian yang bertanggungjawab," katanya.
Menurutnya, ketidakhadiran atau kegagalan mengambil pendirian dalam undian sepenting itu boleh memberi implikasi besar kepada hala tuju pentadbiran negara.
"Rekod pengundian Parlimen adalah cerminan kesungguhan wakil rakyat dalam mendukung agenda pembaharuan. Reformasi hanya akan berjaya apabila wujud disiplin, solidariti dan kemahuan politik yang konsisten dalam kalangan semua pihak."
Beliau menambah bahawa pentadbiran negara yang kukuh tidak dibina atas usaha seorang individu, sebaliknya melalui kesatuan tindakan seluruh Parlimen dalam mempertahankan prinsip demokrasi dan reformasi institusi.
"Reformasi adalah amanah bersama dan hanya mampu direalisasikan melalui keberanian, komitmen serta kemahuan politik yang nyata demi masa depan negara," katanya.
