'Permohonan Tamim Dahri sertai KEADILAN sukarkan imej sederhana parti'
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 2 min read

Permohonan aktivis kontroversi Tamim Dahri Abdul Razak untuk menyertai KEADILAN berkemungkinan menyukarkan imej sederhana parti itu dalam masyarakat berbilang kaum pada masa depan.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat (gambar), menerima Tamim sebagai anggota bakal memberi mesej yang salah.
Katanya, hal itu seolah-olah menunjukkan KEADILAN menerima golongan ekstrem dalam menangani isu berkaitan agama sebagai sebahagian anggota parti.
"Andainya KEADILAN menerima permohonan aktivis kontroversi Tamim Dahri untuk menjadi anggota KEADILAN, parti kita akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat umum bahawa KEADILAN mengalu-alukan kedatangan golongan ekstrem dalam menangani isu yang melibatkan agama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wei Kiat berkata, sesuai dengan ulang tahun ke 18 “Tsunami Politik” yang dicetuskan KEADILAN pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008, imej sederhana amat dituntut bagi meneruskan agenda reformasi parti berkenaan.
Tegas beliau, ketika menghadapi PRU 12 dan dalam perjalanan politik selepas itu, KEADILAN sentiasa berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan keterangkuman serta menolak sentimen perkauman-agama dalam mengurus konflik masyarakat berbilang kaum sehinggalah diberi kepercayaan oleh majoriti rakyat untuk memerintah Malaysia.
"Ramai yang meragui, sejauh mana KEADILAN boleh pergi kerana realiti politik lebih memihak kepada parti yang mengambil jalur politik yang keras dalam isu agama dan kaum.
"Itu sebabnya ramai yang menonjolkan diri sebagai “wira” bangsa dan agama tertentu, untuk menambat hati pengundi kaum tertentu," katanya.
Ketua Cabang KEADILAN Selayang itu mengingatkan bahawa rakyat memberi peluang besar kepada parti itu pada PRU12 apabila KEADILAN melonjak daripada hanya satu kerusi Parlimen pada tahun 2004 kepada 31 kerusi Parlimen pada 2008, selain membentuk lima kerajaan negeri bersama rakan sekutu.
Sehubungan itu, katanya, KEADILAN tidak wajar membelakangkan prinsip tersebut walaupun kini berada dalam kerajaan.
"Andainya KEADILAN tidak berganjak daripada prinsip ini ketika menjadi pembangkang, apa alasannya kita mengkhianati idealisme ini ketika kita berkuasa?" soalnya.
Chua juga menegaskan bahawa tindakan merobohkan rumah ibadat tanpa melalui pihak berkuasa tidak seharusnya direstui kerana parti telah menegaskan bahawa sebarang isu sensitif perlu ditangani mengikut prosedur undang-undang bagi mengelakkan ketegangan kaum.
Beliau menambah bahawa ketika ada pihak yang menyindir bahawa semangat “Reformasi” semakin malap, KEADILAN perlu memperkukuh imejnya dengan menegaskan kembali komitmen terhadap politik sederhana.
"Kita perlu menyampaikan mesej yang jelas dan tegas, bahawa KEADILAN tetap dengan garis politik kesederhanaan, keterangkuman dan keadilan.
"Tiada ruang untuk provokasi dalam KEADILAN. Tiada sentimen kaum dan agama sempit dibenarkan. Yang ada, semangat persaudaraan sesama manusia yang berlandaskan nilai kemanusiaan, keadilan dan kepelbagaian," katanya.
Untuk rekod, pada 5 Mac lepas aktivis Tamim Dahri Abdul Razak teah memohon untuk menyertai KEADILAN.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata permohonan itu akan melalui proses tapisan standard keahlian.
Sebelum itu, Tamim berkongsi tangkap layar di Facebook menunjukkan beliau telah menghantar permohonan untuk menyertai KEADILAN melalui aplikasi rasmi parti tersebut.




Comments