Pindaan Perlembagaan hadkan tempoh jawatan PM dibentang tahun ini


Oleh: Azuan Ab Rahman
Beberapa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bakal dilaksana untuk mengukuhkan dasar mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun atau dua penggal penuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri yang diadakan Jumaat lalu telah mempersetujui dasar mengehadkan tempoh jawatan itu.
"Jemaah Menteri meneliti secara menyeluruh input dasar, pandangan awam serta syor-syor yang dikemukakan melalui sesi libat urus holistik dengan pembabitan pelbagai pihak berkepentingan.
"Kerajaan bersetuju dengan cadangan dasar pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI," katanya dalam kenyataan semalam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada hanya dua penggal.
Menurutnya, ia satu daripada langkah reformasi institusi penting yang ingin dilaksanakan kerajaan pada sesi Parlimen tahun ini.
Sementara itu menurut Azalina, cadangan mengehadkan tempoh jawatan ini bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, selain memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara.
Cadangan yang selaras dengan amalan demokrasi matang di peringkat antarabangsa itu jelasnya bakal dibentang ke Parlimen pada tahun ini.




Comments