Pindaan Akta Sewa Beli 2026 kukuhkan perlindungan pengguna - MPPN
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 disifatkan sebagai reformasi penting dalam memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya melibatkan sektor kredit pengguna di Malaysia.
Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Mohd Khair Ngadiron berpandangan, pindaan itu merupakan reformasi signifikan yang akan memberikan manfaat kepada pengguna melalui pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan Peraturan 78 (Rule of 78) serta penggantian kepada Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate) dan Kaedah Pengurangan Baki (Reducing Balance Method).
Pendekatan baharu itu ujarnya, akan memastikan pengiraan faedah yang lebih telus, adil dan mencerminkan baki pinjaman sebenar khususnya bagi pengguna yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman.
"Di samping itu, MPPN turut menyokong usaha pemodenan urusan perjanjian sewa beli melalui penggunaan teknologi seperti tandatangan digital dan tandatangan elektronik, yang dijangka meningkatkan kecekapan proses perjanjian serta mengurangkan risiko penipuan melalui proses pengesahan identiti peminjam.

"Kami juga berpandangan bahawa sekiranya keadaan industri mengizinkan, penguatkuasaan Akta ini lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan adalah wajar dipertimbangkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat reformasi ini dengan lebih segera, khususnya dari segi ketelusan pengiraan faedah dan keadilan dalam penyelesaian awal pinjaman.
"Dalam masa yang sama, MPPN mengambil maklum bahawa tempoh peralihan diberikan kepada pihak industri bagi membolehkan mereka menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses operasi selaras dengan keperluan baharu yang diperkenalkan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khair mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan perkembangan konflik di Timur Tengah yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Beliau berkata, ketidaktentuan geopolitik itu berpotensi memberi tekanan kepada harga komoditi global, rantaian bekalan dan kos sara hidup yang pada akhirnya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pengguna.
Oleh itu, MPPN menegaskan kepentingan pemantauan harga dan amalan perniagaan yang beretika, di samping menyeru pengguna untuk tampil sebagai pengguna yang bijak, peka terhadap hak mereka serta berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan.
"Selaras dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, 'Suara Kita, Kuasa Kita', MPPN menyeru semua pengguna untuk terus meningkatkan kesedaran terhadap hak-hak mereka sebagai pengguna serta memainkan peranan aktif dalam memperkukuh budaya kepenggunaan yang bertanggungjawab dan beretika.
"MPPN komited untuk terus memainkan peranan sebagai badan penasihat kepada Kerajaan dalam memperkukuh dasar dan perundangan berkaitan kepenggunaan demi memastikan hak dan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara," ujarnya lagi.




Comments