top of page

Pindaan Akta 588 tidak sekat hak kebebasan bersuara - Fahmi

Updated: Dec 10, 2024



Oleh: Akmal Manaf


Hak kebebasan bersuara tidak akan ‘disekat’ sekiranya hak itu digunakan secara bertanggungjawab dan tidak melanggar peruntukan perundangan sedia ada.


Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata peruntukan perundangan yang bakal dipinda di bawah

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) termasuk ekspresi atau perbuatan melampaui pertimbangan aspek moral, norma dan tatasusila budaya masyarakat Malaysia yang tidak melanggar asas kebebasan bersuara.


Sehubungan itu, beliau berkata pindaan Akta 588 yang dibentangkan merangkumi tiga aspek iaitu pembangunan industri, keselamatan rangkaian dan pengurusan media baharu.


Katanya, pindaan berkaitan aspek pembangunan industri bertujuan untuk memberikan fleksibiliti kepada pemain-pemain industri dan meningkatkan perlindungan kepada pengguna.


Di bawah aspek pembangunan industri, kata beliau, statutori remedi ditambah baik dan ditingkatkan mengikut kesalahan.


"Ia seperti meningkatkan denda dan penjara maksimum kepada RM1 juta dan 10 tahun bagi mana-mana kesalahan yang berat melibatkan keselamatan rangkaian, ketidakpatuhan berkaitan pelesenan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi.


"Pindaan ini antara lainnya bertujuan untuk memastikan syarikat telekomunikasi mematuhi undang-undang dan peraturan di bawah Akta 588 bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan (Quality of Service (QoS) dan kualiti pengalaman pengguna (Quality of Experience (QoE).


"Bagi maksud aspek keselamatan rangkaian, Fasal 88 memperuntukkan Bab baharu 1A yang memperuntukkan dua peruntukan baharu iaitu seksyen 230A dan 230B untuk membolehkan agensi pemerakuan memperakui pematuhan kepada peraturan peraturan atau standard berkaitan keselamatan rangkaian.


"Selain itu, SKMM dibenarkan untuk mengambil langkah awal dengan mengeluarkan notis bertulis kepada mana-mana orang yang relevan bagi tujuan mencegah, mengesan, mengatasi, mengurangkan atau memperbaiki apa-apa risiko keselamatan rangkaian melalui sebarang kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi," katanya ketika membentangkan pindaan itu untuk bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat petang tadi.


Mengenai aspek ketiga iaitu pengurusan media baharu, ujar Fahmi, pindaan itu bertujuan untuk menangani kemudaratan dalam talian terutamanya media sosial dengan menambah baik peruntukan sedia ada termasuk seksyen 211 dan 233.


Beliau juga berkata, di bawah aspek itu turut diperkenalkan peruntukan-peruntukan baharu antaranya mengenai larangan menghantar atau menyebabkan dihantar atau membenarkan penghantaran mesej elektronik komersial yang tidak diminta seperti spam yang kebanyakannya menjurus kepada penipuan (scam).


''Pindaan ini juga untuk mengukuhkan kuasa penyiasatan bagi melengkapkan SKMM dengan sumber atau alat pengumpulan bukti yang mencukupi untuk menyekat perlakuan kesalahan.


''Rasional kerajaan terhadap pindaan kepada aspek pengurusan media baharu adalah sebagai keperluan untuk memperkenalkan perubahan bagi menangani kemudaratan dalam talian,'' kata beliau.


Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, pindaan Akta 588 bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan.


Sebaliknya, kata beliau, ianya membuktikan keterbukaan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjamin hak kebebasan bersuara.


''Ia termasuk mengkritik kerajaan merupakan satu manifestasi komitmen kepada prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.


''Kritikan yang diberikan harus bersifat membina, disertakan dengan data dan fakta bagi memenuhi semangat mencari serta menegakkan kebenaran dan tidak bersifat menghina, menghasut, provokatif, mencemarkan nama baik, mencerca agama dan kepercayaan serta menyebarkan fitnah,'' katanya lagi.

0 comments

댓글


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page