Pinda Perlembagaan isu warganegara: Bukti reformasi institusi bukan retorik
- Redzuan Shamsudin
- Feb 18, 2023
- 2 min read

Keputusan Kerajaan Perpaduan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung hak kewarganegaraan anak yang lahir di luar negara dari pasangan ibu warganegara Malaysia membuktikan telah berlakunya reformasi dalam pentadbiran Malaysia.
Menurut Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Juwairiya Zulkifli, kenyataan bersama oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri Undang undang Datuk Sri Azalina Othman Said itu amat bermakna dalam mengiktiraf kesaksamaan wanita berbanding lelaki dalam mewariskan kerakyatan kepada anak anak.
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas komitmen dan menyokong dengan jitu akan keputusan yang telah dibuat oleh kabinet. Anak-anak bagi kes kewarganegaraan yang terhalang ini harus segera dibantu untuk mendapatkan kewarganegaraan di bawah Artikel 15 (A) Perlembagaan Persekutuan.
"Setelah bertahun lamanya isu ini berlegar dan tidak diberikan pengadilan sewajarnya, terutama kepada anak-anak yang terkesan kerana kekangan undang-undang sedia ada. Saya kira ini merupakan satu keputusan dan berita baik buat anak dan juga ibu yang terkesan.
"Mereka bakal mempunyai hak untuk menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara secara automatik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati itu, pindaan Perlembagaan dalam tempoh tidak sampai 3 bulan Kerajaan Perpaduan memerintah telah menjawab dengan sendirinya kritikan pembangkang kononnya tidak berlaku reformasi institusi sebagaimana dijanjikan dalam manifesto pilihanraya lalu.
"Ini adalah bukti bahawa komitmen terhadap reformasi institusi dan undang-undang bukan sekadar retorik politik.
"Sejajar dengan saranan semangat Malaysia Madani - komitmen untuk meletakkan kepentingan rakyat adalah sentiasa menjadi keutamaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya lagi.
Sebelum ini, dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail malam tadi, menyebut bahawa cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara tersebut adalah untuk menggantikan perkataan 'bapanya' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan dengan perkataan 'sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya' bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak menurut Perlembagaan.
Kenyataan itu menambah bahawa Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 dijangka akan dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.
Comments