top of page

Pinda Perlembagaan isu kerakyatan anak: Kerajaan bertindak tepat



Kerajaan Perpaduan dipuji kerana bertindak tepat dan betul dalam keputusan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dan memberi hak kewarganegaraan kepada anak wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dan melahirkan anak di luar negara.


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata sudah sampai masanya Parlimen Malaysia menyelesaikan kekusutan tafsiran perundangan itu supaya lebih jelas dalam perkara kewarganegaraan.


"Isu politik yang jelas di sini ialah kabinet dan Kerajaan sekarang ada iltizam yang kuat dan jelas untuk memberi keadilan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira gender atau jantina, baik warganegara lelaki atau wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing, mempunyai hak sama di bawah Perkara 8 Perlembagaan.


"Mereka berhak mewariskan kewarganegaraan Malaysia kepada anak anak mereka, tanpa mengira sama ada lahir dalam Malaysia atau di luar negara," katanya kepada Suara Keadilan.


Menurut Hassan lagi, Kerajaan dalam hal berkenaan telah menunjukkan efisiensi dan kesungguhan politiknya dalam isu berkenaan biar pun berkuasa tidak sampai 3 bulan.


"Dari segi perundangan, ini adalah satu manifestasi reformasi dan contoh jelas falsafah Madani, bukan sesuatu konsep yang retorik tetapi satu pernyataan yang konkrit.


"Saya menyokong dan ucap syabas kepada Kabinet, Perdana Menteri serta Kerajaan sekarang," katanya.


Bagaimanapun keputusan kabinet itu, kata Hassan, akan mengambil sedikit masa untuk dibawa ke Dewan Rakyat memandangkan keperluan hal itu dibawa terlebih dahulu ke Majlis Raja raja Melayu untuk diperkenankan.


"Saya percaya kabinet telah membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Raja raja Melayu untuk diperkenankan.


"Atau mungkin kabinet bincang dan luluskan dahulu sebelum dibawa kepada persetujuan Majlis Raja raja.


"Selepas semuanya lancar barulah dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk menderaf Rang Undang Undang (RUU) dan dirujuk semula ke kabinet untuk kelulusan. Selepas itu RUU Pindaan Perlembagaan itu boleh dibentangkan untuk dijadikan undang undang," katanya lagi.


Namun apa pun, tegas Hassan, Kerajaan Perpaduan di sebalik pelbagai kritikan yang dilemparkan telah pun menunjukkan prestasi terbaik dalam membela hak rakyat yang berjuang bertahun tahun untuk mendapat kewarganegaraan.


Terdahulu, dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail malam tadi, menyebut bahawa cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara tersebut adalah untuk menggantikan perkataan 'bapanya' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan dengan perkataan 'sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya' bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak menurut Perlembagaan.


Kenyataan itu menambah bahawa Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 dijangka akan dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.


Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan menyatakan tentang syarat seseorang yang dilahirkan selepas Hari Malaysia menjadi warganegara Malaysia.


Di samping itu, berkaitan Bahagian III Perlembagaan, yang menetapkan bahawa orang yang dilahirkan pada atau selepas Hari Malaysia adalah warganegara mengikut kuat kuasa undang-undang juga akan diteliti oleh jawatankuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page