'Keputusan perlu dibuat, timbalan presiden hanya seorang'
- Suara Keadilan
- May 12
- 2 min read

Anggota KEADILAN yang menjadi perwakilan dalam Pemilihan KEADILAN 2025 di Johor nanti perlu membuat keputusan muktamad memilih hanya seorang Timbalan Presiden KEADILAN.
Meskipun berat hati untuk membuat pilihan, kata Senator Abun Sui Anyit, anggota perlu memilih berdasarkan keutamaan yang paling tepat sesuai dengan hala tuju parti.
"Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Itulah situasi kita sebab semua Calon Timbalan Presiden kita layak dan ada kekuatan masing-masing.
"Umum mengetahui, pertandingan Timbalan Presiden kali ini telah tercalon dua nama gah yang menurut saya secara peribadi mempunyai kelebihan masing-masing dan saya amat menyayangi kedua-duanya.
"Seandainya dapat, saya ingin kedua-duanya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Puan Nurul Izzah Anwar menjadi Timbalan Persiden 1 dan 2.
"Cumanya dalam Perlembagaan parti timbalan presiden itu hanya menetapkan satu timbalan presiden sahaja. Mahu atau tidak, saya perlu membuat keputusan yang agak berat untuk memilih di antara kedua-duanya," kata beliau dalam satu kenyataan.
Katanya, kedua dua tokoh tersebut memberi impak yang besar kepada perjuangan KEADILAN dan sangat diperlukan untuk menjadi pemimpin pelapis parti masa hadapan.
Bagaimanapun, ujarnya, beliau terpkasa memilih pemimpin yang akan menjamin kestabilan parti pada masa hadapan.
"Terpaksa memilih di antara kedua-duanya, bukan kerana calon pilihan saya nanti adalah terbaik di antara terbaik, begitu juga sebaliknya, calon bukan pilihan saya bermakna kurang baik.
"Saya terpaksa memilih mengikut kata hati, tanpa merendahkan calon yang tidak dipilih.
"Dengan ini, tanpa paksaan sesiapa, tanpa lobi ataupun tekanan sesiapa, saya memilih untuk menyokong Puan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden KEADILAN," katanya.
Selain itu, calon naib presiden itu juga menyeru agar perwakilan yang diberi peluang mewakili Borneo dan etnik Dayak dalam kepimpinan Pusat nanti memahat sejarah agar wakil Borneo diberi tempat mengisi jawatan utama parti.
"Akhir kalam, kepada Perwakilan yang menyokong saya, sokonglah juga mana-mana pemimpin yang kita suka, jangan pula merendahkan pemimpin yang kita tidak sokong," katanya lagi.
Abun mengingatkan, persaingan kali ini merupakan pertandingan kekeluargaan "yang menang nanti kita raikan, yang kalah tetap kita rangkul" dan memperolehi tempat dalam parti.
Comments