Pindaan Akta Hasutan 1948 sebagaimana dicadangkan oleh Kementerian Dalam Negeri bagi menangani isu Kaum, Agama dan Diraja (3R) merupakan langkah terbaik menyelesaikan isu isu 'panas' yang sengaja ditimbulkan untuk mencipta keresahan awam.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, meskipun Akta Hasutan pada suatu ketika dianggap drakonian dan sebagainya, namun sekiranya dipinda dan diletakkan unsur unsur tidak boleh dimanipulasi oleh pemerintah maka rakyat akan melihatnya sebagai undang undang yang berwibawa.
"Kami menyokong keputusan Kabinet untuk meminda Akta Hasutan bagi mengekang penularan isu 3R yang dimanipulasi sesetengah pihak
"Seperti kita tahu Akta Hasutan sering dipotretkan sebagai akta drakonian dan sebagainya.
"Di era Kerajaan Madani memang kita perlukan akta ini untuk mengekang segala perbuatan ekstremis yang cuba dicetus oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab
"Pada masa sama, akta itu juga perlulah tidak boleh dimanipulasi oleh mana mana kerajaan memerintah," katanya dalam kenyataan.
Beliau berharap selepas ini Akta Hasutan mempunyai citra yang lebih positif dan berkesan dalam mengekang unsur unsur 3R yang semakin menjadi jadi sejak pembangkang menggunakan isu kaum dan agama sempit sebagai senjata politik.
"Seharusnya akta ini berfungsi sebagai satu akta yang membela rakyat dan memastikan rakyat berada dalam keadaan yang selamat daripada isu yang boleh menggugat keselamatan negara
"KEADILAN Kemaman bersetuju Akta Hasutan ditambah baik dan selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani," katanya lagi.
Comments