top of page

Pimpinan KEADILAN ziarah keluarga K Indiran, anggota tentera meninggal dunia

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 16 hours ago
  • 1 min read
Kumaresan (tengah) bersama Sim Tze Tzin (kanan sekali) memberi penghormatan terakhir kepada K Indiran
Kumaresan (tengah) bersama Sim Tze Tzin (kanan sekali) memberi penghormatan terakhir kepada K Indiran

Pimpinan KEADILAN hari ini menziarahi keluarga mendiang K. Indiran, seorang anggota tentera berusia 22 tahun yang meninggal dunia ketika mengikuti kursus di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan, berkata beliau bersama Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, telah menziarahi serta memberikan penghormatan terakhir kepada keluarga mendiang di kediaman mereka di Taman Sri Nibong.


Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Manimaran, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).


"Mendiang sedang mengikuti kursus di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan.


"Indiran merupakan anak sulung kepada Mejar C. Kayamboo, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T di Pangkalan Udara Butterworth pada tahun 2016," kata Kumaresan dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, pemergian Indiran bukan sahaja satu kehilangan besar kepada keluarga, malah kepada pasukan keselamatan negara yang sentiasa berkhidmat mempertahankan kedaulatan tanah air.


"Salam takziah dan simpati yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga," ujarnya lagi.


Kunjungan tersebut turut mencerminkan solidariti dan keprihatinan pimpinan terhadap keluarga anggota keselamatan yang berdepan kehilangan insan tersayang ketika menjalankan tanggungjawab kepada negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page