Oleh: Abdullah Zaid
Pimpinan Pusat KEADILAN menghantar nota bantahan dan tuntutan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara hari ini.
Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, nota protes tersebut menuntut dan menggesa agar Amerika Syarikat (AS) segera menghentikan bantuan ketenteraan kepada sekutu kuatnya, Israel dalam misi keganasan di Palestin.
Jelas beliau, pakej bantuan ketenteraan berjumlah AS$14.5 bilion yang diberikan telah banyak mengorbankan ribuan nyawa rakyat Palestin sekali gus membenarkan serangan tidak berperikemanusiaan terus berlaku.
"1.9 juta orang keseluruhan penduduk Gaza tiada tempat tinggal dan ramai yang meninggal dunia termasuk wanita dan kanak-kanak.
"Setakat ini seramai 16,240 rakyat Palestin yang telah terkorban, manakala 7,000 lagi wanita dan kanak-kanak masih tidak dijumpai," katanya selepas menghantar nota bantahan di Kedutaan AS petang tadi.
Justeru, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang menyeru agar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengadakan resolusi untuk menghentikan genosid ke atas rakyat Gaza selain mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) menghantar segera pasukan keamanan ke atas wilayah Palestin itu.
Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, memaklumkan pada 13 Disember ini, Kementerian Luar Negeri akan menganjurkan program libat urus melibatkan pihak berkepentingan bagi membawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
"Dalam tempoh 30 tahun, (Majlis Keselamatan PBB) tidak mengguna pakai Artikel 99 Piagam PBB, tetapi dalam konflik ini (ia) diguna pakai.
"Maka, kita harus berdiri dan mendokong agar gencatan senjata dibuat serta merta dan juga bantuan kemanusiaan dihantar segera," ujarnya lagi.
Comments