Pilihanraya mengejut: Taktik pembangkang alih tumpuan krisis dalaman?
- Suara Keadilan

- Feb 17, 2025
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Spekulasi yang ditimbulkan oleh pemimpin pembangkang Bersatu kononnya terdapat kemungkinan berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut pada hujung tahun ini ditolak sama sekali.
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, politik Malaysia tidak pernah mencatat duluan dalam mengadakan PRU secara mengejut.
PRU selalunya diadakan pada tahun terakhir penamat penggal dan biasanya berlaku dalam beberapa bulan sebelum tarikh tamat tempoh.
"Sudah hampir dua setengah tahun Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang tampuk pemerintahan negara.
"Ia biasanya menjadi pencetus kepada cakap-cakap mengenai pilihanraya mengejut oleh mereka yang terdesak untuk melihat perubahan dalam status quo.
"Penggal Parlimen adalah berdasarkan tempoh maksimum lima tahun sebelum pembubaran dilakukan seterusnya mengadakan pilihan raya.
"Semua siri PRU dari 1955 hingga 2022 adalah berdasarkan tempoh masa pemerintahan empat atau lima tahun (sebelum dibubarkan)," jelas beliau dalam satu kenyataan.
Malah beliau menyifatkan, PRU mengejut lazimnya merupakan satu spekulasi yang disebarkan oleh pembangkang untuk mengalihkan tumpuan agar ahli mereka lebih bekerja keras atau sebagai gimik menarik sokongan rakyat.
Yuneswaran berkata, Kerajaan pimpinan Anwar pada hari ini mempunyai angka (majoriti) untuk bertahan sehingga 2027 dan tiada sebab untuk mengadakan pilihan raya awal.
Katanya, masyarakat juga sudah letih dengan ketidakstabilan (politik) dalam Langkah Sheraton pada Februari 2020.
"Baru sebulan lalu Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bercakap mengenai kelayakan Timbalan Presiden parti (Datuk Seri Hamzah Zainudin) sebagai bakal perdana menteri.
"Ini berkaitan dengan laporan mengenai keretakan yang semakin meningkat antara Muhyiddin dan Hamzah yang tidak kelihatan di khalayak ramai untuk menyokong satu sama lain sejak sekian lama.
"Sememangnya ketegangan bermula sejak Langkah Dubai yang gagal pada Disember 2023, satu dakwaan percubaan untuk memikat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan MADANI," ujarnya.
Dalam pada itu, Yuneswaran turut menyentuh tentang kes rasuah yang didakwa melibatkan pemimpin Bersatu serta peranan Pas sebagai 'abang besar' dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
"Berapa ramai pemimpin Bersatu yang berminat untuk mengambil alih kuasa di tengah-tengah pertuduhan dan kes rasuah yang berterusan?
"'Cakap-cakap oleh pihak Bersatu tentang pilihanraya mengejut hanya merupakan percubaan untuk mengalihkan perhatian daripada perpecahan dalaman parti itu," katanya lagi.
Dalam laporan media semalam, Mohamed Azmin menolak kenyataan kemungkinan berlaku PRU mengejut pada hujung tahun ini sebagai gimik politik.
Sebaliknya, Setiausaha Agung Bersatu itu berkata, kenyataannya merujuk kepada seruan agar jentera parti membuat persiapan awal sekiranya berlaku pilihan raya mengejut pada bila-bila masa.









Comments