top of page

Pilihanraya Datuk Bandar, pilihanraya PBT perlu dilaksana seiring - Jeremy Ang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read


Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kepong, Jeremy Ang (gambar) menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan pilihanraya Datuk Bandar bagi Wilayah Persekutuan, namun menegaskan hal itu tidak wajar dijadikan alasan untuk menangguhkan atau menolak pelaksanaan pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT).


Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, beliau menyeru agar masa depan Kuala Lumpur dibina berasaskan prinsip demokrasi, ketelusan dan akauntabiliti yang kukuh.


"Saya ingin menegaskan pendirian bahawa kami menyokong sepenuhnya pelaksanaan pilihanraya Datuk Bandar. Walau bagaimanapun, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan atau menolak pelaksanaan pilihan raya PBT," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam pada itu, beliau berbeza pendapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang menyuarakan kebimbangan bahawa pelaksanaan pilihan raya PBT boleh mewujudkan situasi ‘terlalu banyak unit’ dalam pentadbiran bandar raya serta menimbulkan kekeliruan mengenai kepada siapa Datuk Bandar perlu mendengar nasihat.


Katanya, dalam sebuah demokrasi matang, kewujudan pelbagai institusi dan wakil rakyat bukan punca kekeliruan, sebaliknya menjadi asas kepada sistem semak dan imbang.


"Kekeliruan sebenar hanya timbul apabila kuasa tertumpu sepenuhnya kepada lantikan politik tanpa mandat rakyat," tegasnya.


Menurut beliau, masalah struktur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika ini berpunca daripada kewujudan Lembaga Penasihat yang tidak dipilih dan tidak mempunyai kuasa eksekutif yang jelas.


"Di bawah akta sedia ada, lembaga ini hanya berperanan sebagai penasihat kepada Datuk Bandar, dan pandangan mereka boleh diketepikan.


"Inilah “vakum” sebenar antara rakyat dan PBT. Lembaga Penasihat tersebut wajar digantikan dengan Ahli Majlis Bandaraya yang dipilih melalui pilihanraya tempatan," katanya.


Beliau menjelaskan bahawa Ahli Majlis seharusnya berfungsi sebagai badan legislatif tempatan yang menggubal dasar dan menyemak belanjawan, manakala Datuk Bandar berperanan sebagai badan eksekutif yang melaksanakan dasar, sekali gus memastikan pembangunan bandar dilaksana secara telus dan bertanggungjawab.


Jeremy turut menyentuh beban kerja Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan yang terpaksa menguruskan isu perbandaran seperti jalan raya dan perparitan tanpa kewujudan ADUN.


"Mengembalikan pilihanraya PBT merupakan langkah praktikal ke arah pembahagian tugas yang lebih efisien. Ia membolehkan Ahli Majlis memberi tumpuan kepada isu setempat, manakala Ahli Parlimen fokus kepada agenda nasional," katanya.


Beliau menambah bahawa pandangan yang menyatakan penglibatan rakyat akan merumitkan pentadbiran bercanggah dengan semangat reformasi serta komitmen manifesto Pakatan Harapan untuk mengembalikan ‘Undi Ketiga’.


"Pilihanraya Datuk Bandar dan pilihanraya PBT mesti dilaksanakan secara seiring bagi membentuk sebuah ibu kota yang benar-benar demokratik dan berteraskan kehendak rakyat," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page