top of page

Penyelarasan dasar rentas kementerian kunci kelestarian alam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 15 minutes ago
  • 2 min read


Oleh: Sidiqin Omar


WAWANCARA: Kerajaan perlu berani mengakui realiti cabaran tadbir urus sumber asli, termasuk kewujudan budaya silo dan obsesi bagi indeks petunjuk prestasi (KPI) yang tidak selari dengan keperluan sebenar rakyat, sebelum sebarang pembaharuan dasar dapat dilaksanakan secara berkesan.


Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, langkah paling asas ialah mendengar keresahan dan kebimbangan rakyat di peringkat akar umbi tanpa menafikan pandangan berbeza yang wujud.


"Pokok tak bergoyang kalau tak ada angin. Jadi kita kena dengar dulu apa sebenarnya keresahan dan kebimbangan di bawah, sama ada mereka faham atau tidak, yang penting kita kena dengar," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Suara Keadilan.


Menurut beliau, budaya kerja dalam kementerian yang terlalu terikat dengan KPI menteri atau jabatan tertentu masih wujud dan perlu diakui secara jujur.


"Tak usah dolak-dalih kata semua okey. Kita kena akui dulu realiti yang berlaku. Bila kita akui, barulah kita tahu apa yang perlu diperbaiki.


"Isu sumber asli tidak boleh ditangani secara terpisah kerana sifatnya yang merentasi bidang dan kementerian, termasuk tanah, air bawah tanah, perlombongan serta kelestarian alam sekitar.


"Sebagai contoh, penerokaan air bawah tanah yang berlebihan boleh memberi kesan besar kepada alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat.


"Air bawah tanah memang perlu, tetapi kalau dikorek terlalu banyak, ada kawasan yang akan terjejas. Kita lihat sendiri isu ini berlaku di beberapa negeri," ujar Ahli Parlimen Ledang itu menegaskan.


Sehubungan itu, Syed Ibrahim berkata keperluan penyelarasan dan perkongsian maklumat melalui platform majlis sedia ada seperti Majlis Tanah Negara, Majlis Fizikal Negara dan Majlis Bencana perlu dilakukan pada setiap masa.


"Kita tak boleh bekerja dalam silo. Platform majlis inilah tempat untuk bincang secara rentas kementerian dan juga antara Persekutuan dengan negeri."


Cabaran e-sisa


Beliau turut menyentuh kepentingan pematuhan kepada perjanjian dan konvensyen antarabangsa seperti Perjanjian Paris berkaitan perubahan iklim serta Konvensyen Basel mengenai pemindahan sisa berbahaya, termasuk e-sisa.


"Bukan sekadar pematuhan, tetapi soal tanggungjawab bersama menjaga planet ini. Apa yang berlaku di negara kita memberi kesan kepada rantau dan juga dunia," jelasnya.


Dalam konteks e-sisa, beliau mengakui Malaysia berdepan cabaran apabila negara tertentu tidak meratifikasi Konvensyen Basel, menyebabkan negara ini menjadi transit sisa antarabangsa.


"Kita patuh, tetapi ada negara yang tidak. Ini realiti geopolitik yang perlu kita urus dengan bijak," katanya.


Syed Ibrahim turut menekankan prinsip amanah, keseimbangan dan maslahah sebagai asas tadbir urus alam sekitar, selari dengan konsep manusia sebagai khalifah di muka bumi.


"Amanah ini bukan hanya terletak pada kementerian atau pemimpin, tetapi tanggungjawab semua."


Teknologi hijau


Beliau berkata, kerajaan akan terus membimbing dan memperkasakan rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk tenaga hijau, ekonomi hijau dan kempen penggunaan teknologi hijau.


Antara contoh ialah projek perintis masjid hijau yang telah dilaksanakan di Masjid Al-Hasanah di Bandar Baru Bangi dan bakal diperluaskan.


Selain itu, program kesedaran seperti pembersihan sungai serta penglibatan komuniti melalui ranger komuniti akan diteruskan bagi membantu memantau pembalakan haram, perlombongan haram dan ancaman terhadap hidupan liar.


"Ranger komuniti ini sukarelawan, tetapi mereka diberi peranan penting untuk memantau dan melaporkan aktiviti haram kepada pihak berkuasa," katanya.


Beliau menegaskan, operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa akan terus diperkasakan, namun pada masa sama maklum balas dan penglibatan rakyat biasa amat penting untuk memastikan kelestarian alam dapat dijaga secara menyeluruh dan berterusan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page