Peruntukan RM2 juta: Komitmen kerajaan perkasa seni bela diri negara
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Pertubuhan Lima Generasi Malaysia merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Madani atas peruntukan RM2 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkasa pembangunan seni mempertahankan diri negara.
Pengasas dan Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, Datuk Abdullah Ghani Kassim berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mengangkat seni mempertahankan diri sebagai warisan bangsa yang bernilai tinggi.
"Peruntukan ini mencerminkan kepercayaan dan komitmen berterusan kerajaan dalam mengangkat seni mempertahankan diri sebagai warisan bangsa yang bernilai tinggi, bukan sahaja dari sudut kebudayaan dan sukan, malah sebagai elemen pembinaan jati diri serta benteng pertahanan ketiga negara," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pihaknya akan memastikan dana tersebut dimanfaatkan secara berfokus dan berimpak tinggi merangkumi pembangunan atlet dan jurulatih, penambahbaikan kemudahan latihan, penganjuran kejohanan serta promosi seni mempertahankan diri tempatan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis Apresiasi Pendekar Negara yang berlangsung di Seremban malam tadi menjadi manifestasi awal pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Ia merupakan penganjuran sulung pertubuhan itu, hasil kesinambungan Himpunan Pendekar sempena Hari Malaysia tahun lalu dengan sokongan dana khas Perdana Menteri.
Pertubuhan itu turut menyambut baik penegasan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berhubung usaha memperluaskan pengenalan seni persilatan dalam sistem pendidikan negara, termasuk menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.
"Langkah ini selari dengan matlamat jangka panjang untuk membina generasi muda yang berdisiplin, berjati diri dan menghargai warisan bangsa," katanya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian enam kategori anugerah utama sebagai pengiktirafan kepada penggiat seni mempertahankan diri negara.
Bagi Anugerah Pertubuhan Silat Terpilih, enam pertubuhan menerima insentif RM70,000 setiap satu untuk pembangunan silat. Anugerah Jasa Silat pula diberikan kepada lima tokoh yang mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, masing-masing menerima RM10,000.
Kategori Anugerah Ikon Tempur Anak Muda menyaksikan tiga atlet Muay Thai menerima RM10,000 setiap seorang, manakala Anugerah Emas Sukan SEA diberikan kepada enam atlet negara dengan insentif RM5,000 setiap seorang.
Penghargaan Jurulatih Silat Negara turut disampaikan kepada tiga jurulatih dengan insentif RM5,000 setiap seorang, sementara Anugerah Duta Silat diberikan kepada tiga figura seni dan budaya yang mempopularkan silat, masing-masing menerima RM10,000.









Comments