Pilih wakil rakyat selari kerajaan Pusat, jamin peluang anak muda
- Suara Keadilan

- Nov 19, 2025
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Anak muda di Sabah perlu memilih wakil rakyat yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Pusat bagi memastikan banyak peluang dapat diraih termasuk inisiatif-inisiatif baharu bagi membantu golongan tersebut.
Calon Pakatan Harapan (PH) N20 Api-Api, Thonny Chee berkata, pihaknya bertuah kerana dibantu dua orang menteri dalam kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini.
"Jadi itulah sebabnya kita, Kerajaan Negeri harus selari dengan kerajaan Pusat. Sebab kerajaan Pusat mempunyai pelbagai inisiatif-inisiatif yang boleh membantu anak-anak muda kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan aktiviti walkabout di sekitar Kampung Air, Kota Kinabalu bersama Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang dan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.
Beliau berkata pihaknya sedar bahawa jumlah pengundi muda di DUN tersebut mewakili kelompok yang besar daripada keseluruhan lebih 17,000 pemilih berdaftar.
Bagaimanapun beliau melihat secara keseluruhan pengundi di DUN Api-Api jumlah pemilih berusia hingga 60 tahun ke atas juga besar jumlahnya, iaitu sekitar 7,000 orang.
"Sebab 17,000 tolak 7,000 tinggal 10,000. Sudah tentu secara umum ialah (pengundi) 18 tahun. Tapi kita, saya hanya melihat Api-Api," katanya.
Thonny yang merupakan calon nombor 5, membawa misi untuk mempertahankan kerusi Api-Api yang sebelum ini dimenangi PH pada PRN 2020.
Anak jati Pitas berusia 45 tahun ini berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari United Kingdom dan memiliki Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Korporat (UMP).
Berpengalaman luas dalam sektor pembangunan dan kemahiran, beliau kini mengetuai Sri Pelancongan Sabah Sdn. Bhd. sebagai CEO, selain pernah berkhidmat dalam institusi latihan negara serta syarikat antarabangsa seperti AIG dan CIMB Bank.
Sebagai pengasas CampusLife dan pengasas beberapa inisiatif komuniti, beliau tampil dengan tekad membawa suara rakyat dan masa depan yang lebih baik untuk Api-Api.









Comments