Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Saya berada di Konvensyen Kerajaan Perpaduan peringkat negeri Perak tahun 2024 di Hotel Casuarina, Ipoh petang semalam.
Dalam ucapan penutupnya, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh isu pencen penjawat awam dan lantikan politik.
Di hadapan lebih 1,500 perwakilan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri memaklumkan bahawa isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya memilih satu daripada tiga pencen yang layak diterimanya.
Kata Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden KEADILAN. "Azizah itu pencen dia sebagai doktor kerajaan, sebagai ADUN Selangor dan Ahli Parlimen tentunya bertanggungjawab maklumkan kepada saya, pagi tadi dia akan pilih hanya satu saja pencen".
Sebelum itu Anwar menyebut, "Ada yang mengatakan mantan Menteri atau Perdana Menteri yang ada pencen tiga empat daripada kerajaan iaitu sebagai ADUN, Ahli Parlimen dan Menteri. Dari segi moral, pilih satu sahaja, yang ini termasuk Azizah".
Sifat rahmah dan ihsan adalah contoh jiwa madani yang luar biasa dimiliki oleh Dr Wan Azizah.
Tindakan ibu reformasi itu yang hanya mahu mengambil satu pencen membuktikan satu lagi pengorbanannya kepada rakyat dan negara.
Beliau memahami bebanan hutang yang dipikul yang diwarisi oleh kepimpinan hari ini.
Siapa lagi akan ikut Wan Azizah?
Sekarang rakyat sedang melihat siapakah lagi pemimpin politik yang ada ‘lebih daripada satu pencen' yang akan mengikuti jejak langkah Wan Azizah.
Sebelum ini PM telah mengumumkan bahawa penghapusan pencen turut melibatkan semua lantikan politik dalam kerajaan, dan dengan langkah diambil Dr Wan Azizah semua orang kini sudah boleh menarik nafas lega.
Menurut PMX, kerajaan bersetuju dengan keputusan pemansuhan pencen itu dan ia termasuk ahli politik yang dilantik sebagai Menteri, Menteri Besar dan juga wakil rakyat.
"Apa saja keputusan yang ditetapkan bagi penjawat awam, ia terpakai juga bagi ahli politik.
"Maknanya, kalau kita mula pada 1 Februari 2024 dan semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga termasuk semua lantikan baharu daripada kalangan ahli politik.
"Jadi ada orang kata mengapa tidak (termaktub sama ahli politik). Soal lain ada yang pernah jadi Menteri Besar, jadi Menteri dan kemudian jadi Timbalan Perdana Menteri, itu menunjukkan Perlembagaan kita boleh kaji tetapi tak boleh dibawa ke belakang secara retrospektif.
"Untuk yang baharu kita boleh kaji. Saya ingat kita tidak ada masalah kita nak tukar penyesuaian ini.
"Secara prinsipnya, saya bersetuju supaya apa sahaja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam adalah terpakai juga bagi pelantikan politik tetapi dimuktamadkan setelah kajian dibawa dan Jemaah Menteri akan putuskan," katanya.
Dengan penjelasan Perdana Menteri itu, tidak berbangkit lagi tanggapan bahawa pemansuhan pencen polisi tidak adil kerana kononnya hanya melibatkan penjawat awam semata-mata.
Cadangan pemansuhan pencen adil, saksama
Terbukti dan terang lagi bersuluh kini, lantikan baharu daripada kalangan ahli politik dalam kerajaan juga tidak lagi akan menikmati skim pencen.
Bermakna, selepas ini sama seperti penjawat awam lantikan baharu, pemegang jawatan politik dalam kerajaan juga hanya menikmati skim caruman KWSP sahaja.
Dalam erti kata lain, cadangan kerajaan berkaitan pemansuhan pencen adalah adil dan benar-benar diputuskan atas sebab beban kewangan yang semakin menghimpit dan tidak mampu lagi ditanggung secara berterusan.
Bersama pencerahan Perdana Menteri itu, tiada lain ungkapan yang lebih sesuai ditujukan melainkan - tahniah dan syabas.
Yang jelas, semua orang kini nampaknya harus berkorban untuk sama-sama meringankan beban kewangan negara bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin untuk generasi akan datang.
Semua harus berkorban tetapi tiada sesiapa yang 'dikorbankan' atau dijadikan korban.
Hanya insan yang jiwa madaninya luar biasa mampu mengambil langkah seperti Dr Wan Azizah.
________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.
Comments