Pilih produk lokal, sokong usahawan tempatan - Dr Fuziah
- Suara Keadilan

- 28 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan menyeru rakyat terus memilih produk buatan tempatan sebagai bentuk sokongan kepada usahawan sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) telah merekodkan nilai jualan RM1.22 bilion produk tempatan sepanjang tahun lalu.
"Nilai jualan yang besar ini membuktikan ekonomi mampu dijana apabila kerajaan, usahawan dan rakyat bersatu.
"Setiap pembelian bukan sekadar transaksi barangan, tetapi sokongan kepada rezeki anak bangsa dan kekuatan ekonomi MADANI," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Hantaran itu menyusul majlis pelancaran KBBM 2025 bertemakan ‘Lokal Lagi Gempak’ yang berlangsung di MYDIN Subang Jaya sehari sebelumnya.
Inisiatif digerakkan dengan kerjasama 18 rakan industri serta tiga platform e-dagang itu bertujuan memperluas capaian dan kebolehpasaran produk tempatan.
Sebagai sebahagian kempen, Karnival Jualan ‘Lokal Lagi Gempak’ di MYDIN USJ berlangsung dari 20 hingga 23 November dengan melibatkan penyertaan pelbagai usahawan yang mempamer dan menjual produk terus kepada pengguna.
Manakala, kempen ‘Lokal Lagi Gempak’ akan berlangsung di semua cawangan Mydin seluruh negara sehingga 31 Disember 2025.
"Jom kita jadikan pilihan kita sebagai kuasa yang mengubah negara. Lokal kalau disokong… memang lagi gempak!" tambah Fuziah menerusi hantaran sama.









Comments