
Pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini digesa agar memilih Pakatan Harapan (PH) demi melakukan pembaharuan total dalam pentadbiran Kerajaan Negeri sekali gus menyumbang kepada pemulihan negara.
Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, PH menawarkan calon-calon yang terbaik, seimbang sama ada dari segi pengalaman, calon muda, profesional, lelaki mahu pun wanita untuk dipilih para pengundi.
"PH mempunyai semua lapisan (latar belakang) rakyat di Melaka (sebagai calon). Terutama yang muda dan yang berpengalaman. Kita mahu pengundi memilih satu pembaharuan, pemulihan untuk negara.
"Ini (PRN) bukan setahun dua tahun, ini 5 tahun untuk DUN Melaka. Ini penting jadi tiap-tiap yang berhak mengundi mesti memilih untuk menjadikan Melaka lebih baik daripada dahulu
"PH membawa harapan baru. Melaka ini potensinya amat baik. Tadi saya pergi ke Pantai Kundor, cantiknya pantai tetapi bila pasir terhakis, jadi semua bermasalah. Ini kita kena hentikan.
"Kita kena menjaga untuk masa depan Melaka. Tetapi jangan cakap sahaja, kena buat (dalam pentadbiran)," katanya dalam temubual oleh Studio Pasir Berdengung PRN Melaka, petang semalam.
Menurut Dr Wan Azizah lagi, terutama calon wanita di Melaka perlu diberikan undi agar mereka dapat menjadi ADUN dan menyuarakan isu-isu wanita secara lebih baik di peringkat negeri.
"Calon wanita, ini yang kita mahu. Kita lihat wanita boleh dijadikan contoh apabila diberikan tugas dan amanah. Selalunya mereka menjalankan tugas dengan baik. Di belah sana pun ada juga (wanita) tetapi pilihlah PH. Itu penting kerana kita bawa perubahan yang betul-betul," katanya.
Bagaimanapun dalam temubual itu Ahli Parlimen Pandan tersebut mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya kerana mengenakan SOP yang terlalu ketat dan tidak memperlihatkan PRN itu seperti pilihan raya yang selayaknya diamalkan Malaysia.
"Pilihan raya kali ini ada banyak kekangan. Kak Wan pun tak faham, ya atau tak, nak pakai (pelitup muka) ke tak pakai? Kena tangkap ke tak kena tangkap?
"Kak Wan rasa janggal, pilihan raya tetapi tak boleh kempen, tak boleh pakai simbol parti tetapi mereka (pihak lawan) boleh," katanya.
Oleh itu, salah satu cara untuk mendekati pengundi, kata Dr Wan Azizah, beliau telah melakukan inisiatif pemeriksaan mata percuma buat pengundi di beberapa DUN.
Di samping berbakti kepada masyarakat, katanya, beliau boleh turut memperkenalkan calon PH.
"Mereka (rakyat) memberikan satu respons yang baik. Datang memeriksa mata dengan Datuk Dr Johari, bersama sama memberikan sedikit ubat-ubat meringankan (sakit), macam air mata palsu itu, juga vitamin.
"Selanjutnya, kalau perlu rawatan susulan maka boleh pergi ke Hospital Melaka atau klinik pakar lain (diberi surat rujukan hospital)," katanya lagi