top of page

Pilih PH demi kerjasama erat dengan Persekutuan - Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 days ago
  • 2 min read
PM Anwar menyeru pengundi Johor memilih kerajaan yang selari dengan Persekutuan demi kemajuan
PM Anwar menyeru pengundi Johor memilih kerajaan yang selari dengan Persekutuan demi kemajuan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Johor supaya memberikan mandat kepada PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan kerjasama lebih erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan demi manfaat rakyat.


Beliau berkata, Johor mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai negeri yang lebih maju, namun memerlukan kepimpinan yang berani, tegas dan bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan agenda pembangunan.


"Johor punya sejarah gemilang, tetapi kita mahu pimpinan yang berani, tegas, bekerjasama dengan Persekutuan.


"Kalau bekerjasama dengan Persekutuan untung untuk rakyat. SARA, Persekutuan, STR, Persekutuan, pendidikan, Persekutuan, lebuh raya, Persekutuan, ETS, Persekutuan," katanya ketika dalam ceramah Grand Finale Jelajah "Johor Ke Depan, Undi Harapan" di Pasir Gudang, malam tadi.


Anwar berkata, antara contoh kejayaan kerjasama itu ialah pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang digerakkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.


Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan lebih besar dalam menyediakan rumah mampu milik, khususnya untuk golongan muda yang berdepan kos sara hidup dan harga rumah yang semakin meningkat.


"Apa kita minta negeri buat? Rumah rakyat, beri tanah, buat rumah rakyat. Ekonomi naik, harga rumah mahal, anak-anak kerja gaji RM3,000, sewa rumah RM2,000. Tak boleh hidup. Ini sebabnya kita minta Kerajaan Negeri kerjasama dengan kita," katanya.


Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan mempunyai dasar jelas dalam membangunkan perumahan rakyat dengan memanfaatkan tanah milik kerajaan bagi projek perumahan mampu milik.


"Pasal apa di Kuala Lumpur kita boleh buat rumah murah banyak? Rumah rakyat banyak kita buat, puluh ribu kita buat. Tanah kerajaan kalau ada saya tak izin, melainkan bangun rumah rakyat. Ini adalah polisi," katanya.


Dalam pada itu, Anwar mengingatkan bahawa kepimpinan yang baik memerlukan keberanian untuk mentadbir dan bukannya memainkan sentimen perkauman bagi meraih sokongan politik.


Beliau turut menegaskan Kerajaan Perpaduan terus memberi layanan adil kepada semua institusi pendidikan tanpa mengira latar belakang politik, termasuk membantu institusi yang diasaskan oleh parti dari BN.


"Saya bukan mahu gaduh sama MCA (dari BN) tetapi MCA kita sudah cuba puluh tahun. Mana selesai. UEC pun kita buat. UTAR, walaupun itu projek MCA, kita bantu.


"Saya sendiri dengan Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) pergi beri duit," katanya.


Anwar turut menyatakan keyakinannya bahawa rakyat Johor mampu membuat pilihan yang bijak berdasarkan rekod serta kemampuan sesebuah parti dalam mentadbir dan membela kebajikan rakyat.


"Saya tahu rakyat termasuk di Johor bijak. Kamu tahu siapa yang janji, siapa sakau, siapa yang jaga rakyat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page