Pilih pemimpin bela masa depan, bukan pemecah belah - PM
- Suara Keadilan

- Jul 6
- 2 min read

Golongan muda di Johor diseru supaya tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman sekaligus menolak budaya politik yang memecahbelahkan rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini perlu dimanfaatkan untuk memilih kepimpinan yang mampu membela masa depan mereka
Golongan muda tegasnya, perlu membuat pilihan berdasarkan keupayaan pemimpin menyelesaikan isu kerana ia memberikan kesan langsung kepada kehidupan rakyat seperti pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan negeri.
"Yang dibangkitkan (segelintir pemimpin adalah) takutkan Cina, marahkan India, minta orang Melayu dengan Cina bergaduh, untuk apa? Kita bergaduh di bawah, yang atas sakau.
"It's time, we decide. Who? You decide (Inilah masanya kita membuat pilihan. Siapa? Anda yang menentukannya). Bangkit bela nasib kita, jangan ditipu oleh sistem politik yang bobrok dalam negara kita," kata Anwar dipetik.
Beliau berkata begitu ketika hadir merasmikan Pelancaran Sukarelawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, di Muar pada Ahad.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram Nazri Abd Rahman dan calon PH bagi kerusi DUN Bukit Naning Md Ysahrudin Kusni.
Sementara itu, Anwar yang juga Perdana Menteri turut menzahirkan rasa kagum terhadap sambutan luar biasa golongan muda yang hadir pada program berkenaan, yang menurut beliau mencerminkan kesedaran generasi muda untuk membawa perubahan.
"Jadi, saya seru anak-anak jelajah tiap kampung dan lorong dan daerah, beri mesej yang jelas kesedaran bahawa kita mampu lakukan perubahan. Agenda perubahan, perubahan sedaya upaya kita mesti kita laksanakan. Guna masa ini dengan sebaiknya," kata beliau.
Sementara itu, Anwar dalam satu hantaran di laman Facebooknya menyatakan seruan supaya seluruh rakyat Johor supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Negeri Johor jelasnya memerlukan barisan kepimpinan yang berani bekerja, menyelesaikan masalah rakyat serta membawa negeri itu ke arah kemajuan yang lebih mampan.




Comments