Pilih pemimpin baik, pastikan N Sembilan terus maju - Fahmi
- Suara Keadilan

- 7 hours ago
- 1 min read

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadhil menyeru anak-anak Negeri Sembilan yang masih berada di perantauan untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini.
Jelasnya, mengundi adalah untuk menentukan masa depan dan setiap undi yang diberikan akan menentukan hala tuju pentadbiran negeri, termasuk memastikan wang rakyat diurus secara berhemah serta pembangunan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya memilih pemimpin yang betul dan amanah bagi memastikan negeri itu terus ditadbir dengan baik.
"Sekiranya kita pilih pemimpin yang betul, maka baiklah pengakhirannya. Kalau kita pilih pemimpin yang tidak betul, tidak amanah, maka akan berlaku macam-macam masalah di kemudian hari.
"Kita nak duit rakyat dijaga dengan baik. Kita nak pembangunan dilakukan dengan baik," katanya dipetik laporan media.
Hari ini, seramai 859,760 pemilih berdaftar, termasuk 7,391 pengundi pos akan terlibat dalam proses pengundian bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Pakatan Harapan bertanding di semua 36 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (25), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (24), Perikatan Nasional (11) dan empat calon Bebas.
Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon.




Comments