top of page

Pilih haluan berbeza silakan, tetapi jangan cerca tokoh, pejuang reformasi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 56 minutes ago
  • 2 min read

Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri (gambar), menegur pihak yang ingin menyeberang Parti Bersama Malaysia (Bersama) Wilayah Sabah agar tidak mencerca sejarah perjuangan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta tidak bersikap hipokrit.


Dalam satu warkah terbuka, beliau menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi telah melalui perjalanan panjang, termasuk perjuangan tokoh-tokoh reformasi yang berdepan pelbagai cabaran sebelum mencapai kedudukan hari ini.


"Malaysia negara demokrasi. Dipimpin oleh demokrat disegani dunia. Beliau (Anwar) pernah dipuncak kekuasaan, pernah juga dihina sejijik anjing kurap di jalanan. Tapi sosok itu tidak pernah mengalah, laungan lawan tetap lawan jadi pegangan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Farid, perjuangan Anwar masih kekal berteraskan prinsip yang sama, namun pelaksanaan reformasi kini perlu mengambil kira realiti pentadbiran kerajaan campuran yang terdiri daripada pelbagai parti dengan latar belakang berbeza.


"Al maklum, Kerajaan pimpinannya adalah kerajaan campuran pelbagai parti aliran berbeza. Sesuai hikmah sang Raja. Mana mungkin dapat laksana (dipaksa) agenda seperti zaman PM terlama di Malaysia (Mahathir)," ujarnya.


Beliau menyifatkan kritikan berterusan terhadap kepimpinan PM Anwar oleh pihak tertentu sebagai tidak wajar, terutama daripada mereka yang pernah mendapat manfaat daripada perjuangan reformasi.


"Bila pendapat tidak lagi sehala, kamu maki, tekan dia semahunya. Macam dia tiada jasa, tiada bakti pada kamu sedangkan kamu semua dikenali kini atas peluang “berdiri di bahu gergasi”," sinisnya.


Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa KEADILAN tidak menghalang mana-mana pihak untuk memilih haluan politik berbeza, namun menolak sikap mengata atau mencerca di belakang.


"Tiada siapa halang kamu keluar parti. Tiada siapa paksa meninggalkan, tak ingin juga kami menyimpan gunting dalam lipatan. Kalau mahu pilih haluan lain, silakan," tegasnya.


Beliau menambah bahawa kejujuran dan keterbukaan dalam berpolitik amat penting bagi memastikan kestabilan serta kepercayaan rakyat terhadap parti dan kepimpinan negara terus terpelihara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page