Pilih calon BN di Pelangai, selari Persekutuan - Wan Mahusin


Oleh: Abdullah Zaid
Dakwaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sekiranya mereka menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai maka akan selari dengan pentadbiran kerajaan Pahang dan Persekutuan yang bakal bertukar, disifatkan sebagai penipuan terbesar kepada pengundi.
Bagi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Hussin, jika faktor keselarian dengan Kerajaan Negeri atau Persekutuan yang menjadi keutamaan maka lebih baik pengundi memilih calon BN yang memang datang daripada Kerajaan Perpaduan.
"Jangan bunyi guruh di langit air di tempayan dicurahkan, kalau kita nak selari dengan kerajaan Pahang (memang) sudah selari dengan Persekutuan, kalau nak selari inilah masanya untuk kita selari.
"Tak payah nak pening-pening kepala, angkat sumpah yang baharu, nak sign SD (tukar kerajaan). Dan rakyat wajib tahu tiada lagi (tidak dibenarkan) budaya lompat parti sekarang," katanya dalam siaran langsung Facebook bertajuk ‘Apa lagi PN nak tipu’ malam tadi.
Jelas Pengerusi Pertubuhan Idealis Anak Muda Kelantan itu, PRK DUN Pelangai yang diadakan pada ketika ini hanya untuk mengantikan ADUN selepas kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dan tidak mungkin boleh mengubah Kerajaan Negeri apatah lagi peringkat pusat.
"Saya nak ingatkan PRK Pelangai, kita hanya nak pilih penganti baharu sahaja iaitu Datuk Armizar (calon BN).
"Umpama kalau dalam bola sepak ada pemain cedera, kita hanya tukar dengan pemain simpanan bukan tukar dengan pemain lawan, itu sahaja," ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Mahussin turut membidas Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa pengundi memilih calon PN sekiranya mendambakan pembangunan.
Jelasnya, Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka perlu melihat dahulu ‘pembangunan’ yang jauh lebih daif di kawasan beliau jika dibandingkan dengan DUN Pelangai.
"Kalau Tuan Ibrahim mendambakan pembangunan Pelangai, saya rasa pengundi boleh lihat di Cheka itu bagaimana?
"Sebagai pengundi kita kena buka mata dan meletakkan diri sebagai pengundi waras yang tidak boleh ditipu oleh pemimpin sebegini," ujarnya lagi.




Comments