Pijak al-Quran: Ambil tindakan tegas pihak tidak hormati agama - Roland
- Redzuan Shamsudin

- 4 hours ago
- 1 min read

Insiden penghinaan memijak kitab suci al-Quran merupakan perbuatan yang amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang menghayati prinsip Rukun Negara.
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar) berkata tindakan seumpama itu jelas bercanggah dengan semangat perpaduan serta etika hidup bermasyarakat yang menjadi teras pembinaan negara Malaysia.
"Insiden seumpama ini tidak patut berlaku di negara kita yang mengamalkan prinsip dan etika Rukun Negara.
"Semua pihak tanpa mengira latarbelakang kaum, agama dan faksafah politik patut bangkit mengecam sekeras-kerasnya sikap dan tindakan mana-mana individu yang tidak menghormati agama orang lain," katanya dalam satu kenyataan.
Roland menegaskan, perbuatan memijak al-Quran dan sengaja memuat naik video insiden tersebut untuk tontonan umum adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mencetuskan kegusaran serta kemarahan dalam kalangan umat Islam.
"Sebagai Naib Presiden KEADILAN, saya turut mengecam tindakan individu yang melakukan perbuatan memijak al Quran tersebut dan sengaja memuatkan video insiden untuk tontotan orang ramai," tegasnya.
Beliau berharap agar pelaku kesalahan itu dibawa ke muka pengadilan segera mengikut proses undang-undang sedia ada.
Roland berkata, semua rakyat Malaysia seharusnya memelihara keharmonian antara agama dan kaum, serta menolak sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan negara.




Comments